Nizam Rasmi Likefest Fun Run 2026 di Kompleks Sukan Tawau

TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan merasmikan Program Likefest Fun Run 2026 di Kompleks Sukan Tawau, semalam.

Program larian sejauh lima kilometer itu berlangsung meriah dengan penyertaan masyarakat setempat, termasuk golongan belia, keluarga dan komuniti sukan rekreasi di Tawau.

Nizam turut menyempurnakan pelepasan peserta larian pada jam 6.30 pagi sebelum meneruskan lawatan sekitar tapak penganjuran Likefest.

Menurut beliau, program sukan santai seperti itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, malah berperanan memperkukuh hubungan silaturahim dan menyatukan komuniti dalam suasana positif.

“Program sukan santai seperti ini bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, malah berperanan mengeratkan hubungan silaturahim serta menyatukan komuniti setempat, khususnya golongan belia, dalam suasana yang positif, aktif dan penuh semangat,” katanya.

Nizam berkata, penganjuran program seumpama itu wajar diteruskan kerana ia memberi ruang kepada masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti fizikal yang sihat, di samping membina semangat kebersamaan dalam komuniti.

Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Selain acara larian, Likefest turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk booth jualan, pameran serta pertandingan yang memberi nilai tambah kepada pengunjung.

Nizam berkata, pengisian seperti itu bukan sahaja menjadikan program lebih meriah, malah turut membantu merancakkan aktiviti sosial dan ekonomi setempat melalui penglibatan peniaga, komuniti serta pengunjung.

“Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform untuk memupuk budaya hidup sihat, memperkasakan komuniti serta merancakkan aktiviti sosial dan ekonomi setempat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *