TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menyempurnakan perasmian Majlis Forum Perdana bertemakan “Hakikat Akhir Zaman” di Dewan Terbuka PPR Taman Sri Balung, Isnin lepas.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan itu turut dihadiri ADUN Balung, YB Syed Ahmad Syed Abas, barisan kepimpinan tempatan serta masyarakat setempat yang hadir bagi menimba ilmu dan mengambil manfaat daripada perkongsian para panel penceramah.
Menurut Nizam, penganjuran forum tersebut amat bermakna kerana tema yang dibincangkan sangat relevan dengan suasana dunia hari ini yang menyaksikan pelbagai cabaran terhadap akidah, akhlak dan kehidupan umat Islam.
Beliau berkata, perbincangan mengenai hakikat akhir zaman bukan bertujuan menimbulkan ketakutan semata-mata, sebaliknya menjadi peringatan agar umat Islam sentiasa memperkukuh keimanan, memperbanyakkan amal soleh serta menjaga hubungan dengan Allah SWT.
“Perkongsian yang disampaikan mengingatkan kita bahawa tanda-tanda akhir zaman bukanlah untuk menimbulkan ketakutan semata-mata, tetapi sebagai peringatan agar umat Islam sentiasa memperkukuhkan keimanan, memperbanyakkan amal soleh, menjaga hubungan dengan Allah SWT serta berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW,” katanya.
Nizam berkata, forum tersebut turut menekankan kepentingan memelihara perpaduan ummah, memperkukuh institusi keluarga dan mendidik generasi muda dengan nilai-nilai Islam.
Katanya, umat Islam perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi ujian kehidupan dengan kesabaran, ilmu dan ketakwaan, khususnya dalam dunia yang semakin mencabar dari segi sosial, moral dan pemikiran.
Beliau berharap segala ilmu, nasihat dan peringatan yang dikongsikan dalam forum tersebut dapat menjadi bekalan bermanfaat kepada masyarakat, selain memberi kesedaran tentang tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT.
“Semoga segala ilmu, nasihat dan peringatan yang dikongsikan menjadi bekalan yang bermanfaat, memberi kesedaran kepada kita semua tentang tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT, serta menjadi asbab kepada peningkatan iman dan amal dalam menghadapi cabaran akhir zaman,” katanya.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa penganjur, para penceramah serta warga PPR Sri Balung dan kawasan sekitarnya yang telah menjayakan program berkenaan.
Beliau berkata, usaha murni seperti itu wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja menghidupkan budaya ilmu dalam masyarakat, tetapi turut memperkukuh nilai keagamaan, perpaduan dan kesejahteraan komuniti setempat.