Andy Suryady bangkitkan isu jalan raya berkali-kali, gesa tindakan segera

KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Suryady Bandy menegaskan isu kerosakan dan keselamatan Jalan Merotai-Kalabakan-Sapulut bukan perkara baharu, sebaliknya telah lama dibangkitkan melalui pelbagai saluran rasmi termasuk di peringkat Parlimen, kementerian dan agensi berkaitan.

Beliau berkata, keresahan rakyat berhubung keadaan jalan tersebut kembali menjadi perhatian susulan beberapa aduan serta kejadian kemalangan yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Menurut Andi, laluan berkenaan merupakan antara jalan utama yang digunakan ribuan penduduk setiap hari, termasuk pekerja ladang, pelajar, peniaga dan masyarakat luar bandar untuk urusan harian serta mendapatkan perkhidmatan asas.

“Saya mengambil maklum keresahan rakyat berhubung keadaan Jalan Merotai-Kalabakan-Sapulut yang kembali menjadi perhatian susulan beberapa aduan dan kejadian kemalangan yang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Sebagai Ahli Parlimen Kalabakan, saya ingin menegaskan bahawa isu ini bukanlah perkara baharu yang hanya dibangkitkan selepas kejadian terbaru berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Andi berkata, pada awal tahun ini beliau telah membawa isu berkaitan infrastruktur dan keselamatan jalan raya di Kalabakan ke peringkat Parlimen.

Beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, bagi membincangkan beberapa isu kritikal yang dihadapi penduduk Kalabakan, termasuk keadaan jalan raya yang memerlukan perhatian segera.

Selain itu, katanya, beliau turut berhubung berkali-kali dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau serta agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat terkini dan tindakan susulan terhadap pelbagai aduan yang diterima daripada rakyat.

“Sebelum ini, saya turut mempengerusikan mesyuarat libat urus khas melibatkan JKR, PDRM, JPJ, Bomba, Pejabat Daerah dan beberapa agensi lain bagi membincangkan isu keselamatan dan penyelenggaraan jalan raya di kawasan Kalabakan,” katanya.

Menurut Andi, mesyuarat itu antara lain membangkitkan isu keadaan jalan rosak, keselamatan pengguna, pergerakan kenderaan berat, pencahayaan jalan serta keperluan penyelenggaraan yang lebih berkesan.

Beliau berkata, beliau juga pernah mendesak supaya keadaan Jalan Merotai-Kalabakan yang semakin tenat diberi perhatian serius, termasuk cadangan agar laluan tersebut dipertimbangkan dalam pelaksanaan Program CIPR.

Katanya, jalan itu merupakan nadi utama yang menampung aliran trafik tinggi dan mempunyai kepentingan besar kepada aktiviti ekonomi luar bandar.

Andi berkata, beliau memahami sepenuhnya kekecewaan rakyat apabila aduan mengenai jalan rosak terus diterima dan kemalangan masih berlaku.

“Apabila kemalangan berlaku atau apabila aduan mengenai jalan rosak terus diterima, sudah tentu rakyat mahu melihat penyelesaian yang lebih cepat dan lebih berkesan.

“Perasaan itu adalah sesuatu yang saya sendiri rasai setiap kali menerima aduan daripada penduduk yang terpaksa menggunakan laluan tersebut untuk bekerja, menghantar anak ke sekolah atau mendapatkan perkhidmatan asas,” katanya.

Beliau berkata, isu keselamatan jalan tidak boleh hanya diberi perhatian ketika berlaku insiden sebelum dilupakan semula, sebaliknya memerlukan tindakan berterusan dan penyelesaian menyeluruh daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab.

“Saya tidak mahu isu ini terus berulang sehingga rakyat menjadi mangsa. Aduan rakyat sudah banyak diterima, perbincangan telah dibuat, perkara ini telah dibawa kepada kementerian dan agensi berkaitan, malah telah berulang kali dibangkitkan melalui saluran rasmi.

“Maka sudah tiba masanya usaha-usaha tersebut diterjemahkan kepada tindakan yang lebih jelas dan berkesan di lapangan,” katanya.

Andi menegaskan beliau akan terus menggunakan ruang dan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Kalabakan untuk membawa suara rakyat serta mendesak supaya aspek keselamatan dan penyelenggaraan Jalan Merotai-Kalabakan-Sapulut terus diberi keutamaan.

Katanya, keselamatan rakyat tidak boleh menunggu sehingga berlaku lebih banyak insiden yang tidak diingini.

“Keselamatan rakyat tidak boleh menunggu. Jalan ini digunakan setiap hari oleh penduduk, dan tindakan yang lebih menyeluruh perlu diambil bagi memastikan pengguna jalan raya dapat bergerak dengan lebih selamat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *