TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan akan membawa isu gangguan talian telefon dan capaian Internet di kawasan Batu Payung dan Tinagat kepada perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Beliau berkata, perkara itu susulan pelbagai aduan yang diterima daripada penduduk setempat yang mendakwa masalah liputan talian dan capaian Internet di kawasan berkenaan masih berlarutan sehingga kini.
Menurut Nizam, keadaan itu menjejaskan hampir 10,000 penduduk walaupun menara telekomunikasi telah dibina di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu.
“Saya sendiri turut mengalami gangguan talian ketika berada di kawasan berkenaan. Justeru, lawatan ke lokasi dibuat bagi meninjau sendiri keadaan menara telekomunikasi yang dibina agar kemudahan disediakan kerajaan benar-benar dapat dimanfaatkan rakyat,” katanya.
Hasil tinjauan tersebut, Nizam berkata terdapat keperluan untuk penelitian lanjut terhadap keadaan menara telekomunikasi berkenaan, termasuk aspek penyelenggaraan dan persekitarannya.
Katanya, apabila menara telekomunikasi telah dibina, rakyat sudah tentu mengharapkan masalah komunikasi dan capaian Internet dapat diselesaikan, bukannya terus berdepan gangguan yang berpanjangan.
“Capaian Internet pada masa kini bukan lagi sekadar kemudahan sampingan, sebaliknya menjadi keperluan penting terutama dalam aspek pendidikan, urusan harian serta pembangunan ekonomi digital,” katanya.
Nizam turut memaklumkan bahawa kedudukan kawasan Batu Payung dan Tinagat yang berhampiran sempadan Indonesia menyebabkan talian telefon pengguna kadangkala bertukar secara automatik kepada rangkaian luar negara seperti Indosat dan Telkomsel.
Menurutnya, perkara itu bukan sahaja menyukarkan komunikasi harian, malah boleh memberi kesan kepada kos penggunaan dan keselesaan penduduk setempat.
Beliau berharap pihak berkaitan termasuk SKMM dan MCMC dapat segera mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan masalah telekomunikasi di Batu Payung dan Tinagat dapat diselesaikan.
“Isu ini perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan kemudahan asas rakyat. Kita mahu kemudahan yang telah dibina benar-benar berfungsi dan memberi manfaat kepada penduduk,” katanya.
Nizam berkata, beliau akan terus memantau perkembangan isu tersebut bagi memastikan suara penduduk Batu Payung dan Tinagat mendapat perhatian pihak berkaitan demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat.