KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) sedang meneliti keperluan meningkatkan geran tahunan kepada persatuan sukan berkaitan bagi memperkukuh pembangunan sukan tinju di negeri ini.
Menterinya, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan berkata, langkah itu penting bagi membantu memperluas program pembangunan atlet muda, meningkatkan akses latihan serta memberi lebih banyak peluang pertandingan di peringkat daerah.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Tinju Seluruh Sabah Ke-72 Piala Mayor yang berlangsung semalam.
Menurut Nizam, pembangunan sukan tinju tidak seharusnya tertumpu di kawasan bandar semata-mata, sebaliknya perlu diperluas ke seluruh pelosok negeri bagi memastikan bakat-bakat berpotensi diberi ruang untuk berkembang.
“Kita mahu sukan tinju ini berkembang aktif di setiap daerah Sabah, bukan hanya di Kota Kinabalu.
“Bakat besar tidak semestinya lahir dari tempat yang besar. Ramai juara kita lahir dari daerah kecil dan gim sederhana, tetapi memiliki semangat yang luar biasa,” katanya.
Nizam berkata, kejohanan seperti Piala Mayor merupakan platform penting untuk mengenal pasti atlet pelapis dari peringkat akar umbi yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, termasuk kebangsaan dan antarabangsa.
Katanya, sepanjang empat hari penganjuran kejohanan itu, para atlet menunjukkan semangat juang, disiplin tinggi dan ketahanan mental yang membanggakan.
“Sukan tinju bukan sekadar kekuatan fizikal. Ia menuntut keberanian, ketenangan fikiran, disiplin dan jati diri yang kukuh sebagai asas pembentukan seorang juara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Tinju Negeri Sabah (PTNS) di bawah kepimpinan Presidennya, Datuk Orlando Harumal atas komitmen jangka panjang dalam memajukan sukan tinju di Sabah.
Nizam turut berterima kasih kepada Persekutuan Tinju Malaysia atas sumbangan gelanggang baharu serta pelaksanaan kursus kejurulatihan yang membantu meningkatkan standard pembangunan atlet dan jurulatih tempatan.
Menurutnya, kerjasama erat antara persatuan sukan, agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan rakan strategik amat penting dalam memperkukuh ekosistem sukan negeri.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak 5 Divisyen serta semua agensi yang membantu dari segi logistik, perubatan, teknikal dan penyertaan atlet sepanjang kejohanan berlangsung.
“Kerjasama erat agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan persatuan sukan seperti inilah yang membawa impak besar kepada kemajuan sukan negeri kita,” katanya.
Kejohanan Tinju Seluruh Sabah Ke-72 Piala Mayor kali ini menyaksikan penyertaan 24 pasukan melibatkan seramai 153 atlet, jurulatih dan pengurus.
Nizam turut mengucapkan tahniah kepada semua pasukan, pegawai, jurulatih, pengadil dan hakim yang menjayakan kejohanan tersebut.
Beliau berkata, integriti dalam pengendalian kejohanan perlu terus dipelihara bagi mengekalkan rasa hormat dan keyakinan terhadap sukan tinju Sabah.
“Tahniah kepada semua 24 pasukan dan 153 atlet, jurulatih serta pengurus yang menjayakan kejohanan kali ini.
“Kepada para pegawai, jurulatih, pengadil dan hakim, laksanakanlah tanggungjawab dengan penuh integriti demi mengekalkan rasa hormat dan keyakinan terhadap sukan tinju Sabah,” katanya.