TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Bola Tampar Terbuka Lelaki dan Wanita anjuran Kelab Danakan Daerah Tawau, pagi tadi.
Kejohanan yang berlangsung di Dewan Badminton, Kompleks Sukan Tawau itu menghimpunkan penyertaan sebanyak 24 pasukan, terdiri daripada 12 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita dari pelbagai kawasan.
Penganjuran kejohanan tersebut dikendalikan oleh Kelab Danakan Daerah Tawau yang dipengerusikan oleh Tuan Kamandran.
Menurut Nizam, penganjuran kejohanan seperti itu membuktikan komitmen berterusan komuniti sukan tempatan dalam memperkasa pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, pertandingan tersebut bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, malah berperanan sebagai platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi mengharumkan nama Tawau dan Sabah pada masa hadapan.
“Kejohanan seperti ini membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan sukan komuniti, di samping menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi mengharumkan nama Tawau dan Sabah,” katanya.
Nizam berkata, aktiviti sukan di peringkat komuniti perlu terus digalakkan kerana ia mampu membentuk masyarakat yang lebih aktif, sihat dan berdaya saing.
Katanya, selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat, sukan juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan, semangat kerjasama dan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Kelab Danakan Daerah Tawau atas usaha dan komitmen dalam menjayakan kejohanan tersebut.
Nizam juga menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian kerana mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung.
“Syabas dan tahniah kepada pihak penganjur, khususnya Kelab Danakan Daerah Tawau, serta semua pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini.
“Semoga kejohanan ini terus menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan bola tampar di daerah Tawau dan melahirkan lebih ramai atlet yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.