Andi Suryady rasmikan Program Jom Sihat Sebatik 2026

SEBATIK: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady merasmikan Program Jom Sihat Sebatik 2026 yang berlangsung di SK Mentadak Baru, Sungai Tamang, Pulau Sebatik, Sabtu lepas.

Program tersebut merupakan hasil kolaborasi antara Jabatan Psikiatri Hospital Tawau dan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau, dengan sokongan pelbagai agensi serta rakan strategik.

Antara agensi yang turut terlibat ialah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Tabung Haji, Klinik Butiza dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Cawangan Tawau.

Menurut Andi, penganjuran program seumpama itu amat penting bagi memperluas akses masyarakat luar bandar kepada perkhidmatan kesihatan asas, termasuk kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mental.

Beliau berkata, kesihatan fizikal dan mental perlu diberi perhatian secara seimbang kerana kedua-duanya memainkan peranan besar dalam membentuk komuniti yang lebih sihat, sejahtera dan berdaya tahan.

“Pelbagai perkhidmatan dan pemeriksaan kesihatan percuma telah disediakan kepada masyarakat setempat, antaranya saringan kesihatan mental, saringan kesihatan umum, kempen derma darah serta pemeriksaan pergigian,” katanya.

Andi berkata, program itu turut memberi manfaat besar kepada penduduk Pulau Sebatik kerana mereka dapat memperoleh pemeriksaan dan khidmat nasihat kesihatan secara lebih dekat tanpa perlu bergerak jauh ke kawasan bandar.

Katanya, usaha membawa perkhidmatan kesihatan terus kepada komuniti wajar diteruskan, khususnya di kawasan yang memerlukan sokongan berterusan daripada agensi kerajaan dan rakan strategik.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga usaha seumpama ini dapat terus memperkukuh kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan mental,” katanya.

Andi berkata, pendekatan kolaboratif antara agensi kesihatan, kebajikan dan institusi berkaitan amat penting dalam memastikan penduduk mendapat maklumat, pemeriksaan serta sokongan yang diperlukan secara menyeluruh.

Beliau berharap Program Jom Sihat Sebatik dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kesihatan komuniti di kawasan Parlimen Kalabakan pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *