TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan hadir mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Perlumbaan Perahu Naga Kali Ke-39 Tahun 2026, semalam.
Acara anjuran Persekutuan Persatuan Cina Tawau itu berlangsung meriah di Persiaran Traulsen, Highway Tawau, dengan penyertaan menggalakkan daripada pasukan bertanding serta kehadiran masyarakat pelbagai kaum yang hadir memberi sokongan.
Menurut Nizam, Perlumbaan Perahu Naga merupakan antara acara sukan dan kebudayaan yang cukup sinonim dengan daerah Tawau, selain menjadi platform penting untuk memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk.
Beliau berkata, penganjuran yang telah memasuki edisi ke-39 itu membuktikan komitmen berterusan masyarakat setempat dalam memelihara warisan budaya serta mengekalkan tradisi yang menjadi kebanggaan daerah.
“Perlumbaan Perahu Naga merupakan antara acara sukan dan kebudayaan yang cukup sinonim dengan daerah Tawau.
“Penganjuran yang telah memasuki edisi ke-39 ini membuktikan komitmen berterusan masyarakat setempat dalam memelihara warisan budaya, memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk serta mempromosikan Tawau sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Nizam turut membacakan teks ucapan Ketua Menteri Sabah yang menzahirkan penghargaan dan rasa bangga terhadap usaha berterusan komuniti Tawau dalam memastikan sukan warisan itu terus berkembang.
Beliau berkata, acara seperti itu bukan sahaja memperkaya landskap kebudayaan negeri, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan, ekonomi kreatif dan pembangunan komuniti setempat.
Nizam turut merakamkan ucapan tahniah kepada Persekutuan Persatuan Cina Tawau serta seluruh jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan acara tersebut dengan meriah dan tersusun.
Katanya, kejayaan penganjuran itu mencerminkan kerjasama erat antara komuniti, pihak berkuasa tempatan dan pelbagai pihak dalam mengekalkan acara tradisi yang mempunyai nilai sejarah dan sosial yang tinggi kepada masyarakat Tawau.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah ADUN Sri Tanjung, YB Justin Wong; Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Encik Mohd Shoffian Mohd Said; Pengerusi Persekutuan Persatuan Cina Tawau, Encik Henry Wong Chen Khiong; serta Pengerusi Penganjur Perlumbaan Perahu Naga Kali Ke-39 Tahun 2026, Encik Wong Tet Vui.
“Semoga acara berprestij ini terus menjadi simbol keharmonian, semangat kesukanan dan kebanggaan masyarakat Tawau untuk generasi akan datang,” katanya.