KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady meneruskan Jelajah Rakyat Siri Ke-9 Parlimen Kalabakan bagi meninjau keperluan penduduk serta mendengar sendiri pandangan masyarakat setempat.
Dalam siri jelajah tersebut, beliau memberi perhatian kepada beberapa isu utama yang melibatkan kepentingan rakyat, termasuk keperluan pendidikan, bekalan air, kesihatan serta kemudahan asas di kawasan berkenaan.
Menurut Andi, pendekatan turun padang membolehkan beliau memahami dengan lebih dekat situasi sebenar yang dihadapi penduduk, selain memastikan setiap aduan dan keperluan rakyat dapat dibawa kepada pihak berkaitan.
“Suara rakyat akan terus menjadi keutamaan dalam agenda Kalabakan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, antara perkara yang terus menjadi perhatian utama ialah isu Jalan Merotai-Kalabakan-Sapulut yang sebelum ini sering dibangkitkan oleh penduduk susulan keadaan jalan yang memerlukan tindakan sewajarnya.
Andi menegaskan, isu jalan tersebut akan terus diperjuangkan di peringkat lebih tinggi, khususnya pada sidang Parlimen akan datang, agar perhatian lebih serius dapat diberikan kepada keselamatan dan keselesaan pengguna.
Katanya, laluan berkenaan merupakan antara nadi penting kepada penduduk, pekerja, pelajar serta aktiviti ekonomi luar bandar, justeru memerlukan penyelesaian yang lebih menyeluruh.
“Isu Jalan Merotai-Kalabakan-Sapulut akan terus saya perjuangkan di peringkat lebih tinggi, terutamanya pada sidang Parlimen akan datang, agar diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Andi turut mengalu-alukan kelulusan rasmi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kalabakan yang disifatkan sebagai perkembangan penting kepada komuniti nelayan setempat.
Beliau berkata, kelulusan PNK Kalabakan membuka lebih banyak peluang kepada nelayan untuk mengakses bantuan, program pembangunan, sokongan ekonomi serta inisiatif berkaitan kesejahteraan komuniti pesisir.
Menurutnya, penubuhan dan pengiktirafan PNK tersebut diharap dapat memperkukuh penyertaan komuniti nelayan dalam program-program pembangunan yang lebih tersusun dan memberi manfaat langsung kepada golongan sasar.
Andi berkata, Jelajah Rakyat akan terus menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dengan masyarakat, mengenal pasti isu setempat dan memastikan agenda pembangunan Kalabakan bergerak berdasarkan keperluan sebenar rakyat.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan kawasan tidak hanya memerlukan perancangan dari atas, tetapi perlu disertai dengan suara, pandangan dan pengalaman masyarakat di lapangan.