Nizam sambut baik kerjasama media Sabah-Kalimantan Utara

TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menyambut baik pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik Media Lintas Negara Indonesia-Malaysia Satu Borneo melibatkan pengamal media baharu dari Sabah dan Kalimantan Utara, Sabtu lepas.

Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama rentas sempadan, selain meningkatkan profesionalisme serta pematuhan terhadap etika kewartawanan dalam era digital yang semakin mencabar.

Katanya, kerjasama itu juga diyakini mampu mempererat hubungan dua hala antara Sabah dan Kalimantan Utara melalui peranan media sebagai medium penyampaian maklumat yang sahih, tepat dan bertanggungjawab.

“Saya menegaskan bahawa aspek pemeliharaan etika kewartawanan perlu sentiasa menjadi keutamaan, khususnya dalam mendepani cabaran penularan berita palsu dan maklumat tidak sahih yang semakin berleluasa,” katanya.

Beliau berkata, media memainkan peranan besar dalam membentuk kefahaman masyarakat dan memperkukuh hubungan serantau, justeru nilai integriti serta tanggungjawab dalam penyampaian maklumat perlu terus dipelihara.

Pada masa sama, Nizam turut menghargai sokongan Konsulat Republik Indonesia di Tawau terhadap usaha memperkasa kerjasama media antara Malaysia dan Indonesia.

Menurutnya, hubungan strategik seperti itu berpotensi membuka lebih banyak ruang kolaborasi yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *