Sijil kejurulatihan penting, tetapi jurulatih akar umbi perlu ruang perbincangan

Dua minggu lalu, saya berpeluang menyertai 14th International Sports Science Conference (ISSC) 2026 di Hotel Renai, Kota Bharu sebagai pembentang lisan bagi kertas kajian Systematic Literature Review (SLR) berkaitan sumber pengetahuan jurulatih bola sepak akar umbi.

Bagi mereka yang tidak begitu dekat dengan dunia akademik, SLR secara mudahnya bermaksud proses meneliti, menyusun dan menganalisis kajian-kajian terdahulu yang telah diterbitkan mengenai sesuatu topik. Dalam konteks kajian ini, fokusnya ialah bagaimana jurulatih bola sepak akar umbi memperoleh ilmu, membina kemahiran, dan memperbaiki amalan kejurulatihan mereka.

Sebagai seseorang yang masih baru dalam penulisan akademik, saya sedar masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, sama ada dari sudut teknikal kajian, susunan hujah, kaedah penulisan mahupun ketelitian akademik. Namun, saya juga percaya bahawa proses belajar itu sendiri memerlukan keberanian untuk bermula. Dalam hal ini, memiliki penyelia yang membimbing, menegur dan menyokong merupakan satu rahmat yang sangat besar.

Berdasarkan 21 artikel jurnal yang kami teliti berkaitan sumber pembelajaran jurulatih bola sepak, terdapat beberapa perkara penting yang wajar dikongsi dalam bahasa yang lebih mudah.

Pertama, pembelajaran formal seperti kursus kejurulatihan FAM atau AFC tetap penting. Ia menyediakan asas ilmu, struktur pedagogi dan pemahaman teknikal yang diperlukan oleh seseorang jurulatih. Melalui kursus sebegini, jurulatih didedahkan kepada prinsip latihan, perancangan sesi, pengurusan pemain dan asas taktikal yang lebih tersusun.

Namun begitu, pembelajaran formal juga mempunyai batasnya. Tempoh kursus biasanya terhad, kandungannya kadangkala terlalu umum, dan apa yang diajar dalam suasana kursus tidak semestinya dapat terus diterjemahkan ke dalam realiti padang akar umbi yang jauh lebih kompleks. Ekosistem akar umbi berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain, bergantung kepada latar pemain, kemudahan, budaya setempat, tahap sokongan ibu bapa, serta kemampuan kelab atau akademi.

Kedua, pembelajaran informal memberi kesan yang sangat besar kepada perkembangan jurulatih. Banyak perkara dalam kejurulatihan sebenarnya dipelajari di padang, bukan semata-mata di dalam kelas. Jurulatih belajar melalui pengalaman, kesilapan, pemerhatian, perbincangan dengan rakan jurulatih, bimbingan mentor dan proses mencuba sesuatu pendekatan sebelum memperbaikinya.

Rahman ketika membentangkan kajian beliau di 14th International Sports Science Conference (ISSC).

Dalam bahasa mudah, ramai jurulatih berkembang melalui proses trial and error. Mereka mencuba satu kaedah latihan, melihat reaksi pemain, menilai sama ada objektif latihan tercapai, kemudian mengubah pendekatan pada sesi berikutnya. Proses inilah yang menjadikan pengalaman sebagai salah satu sumber ilmu yang paling penting dalam dunia kejurulatihan akar umbi.

Ketiga, refleksi yang dipandu merupakan alat pembelajaran yang sangat berkesan. Refleksi bukan sekadar bertanya kepada diri sendiri, “Apa yang salah hari ini?” Sebaliknya, refleksi yang baik memerlukan jurulatih menilai keputusan mereka, memahami reaksi pemain, mengenal pasti kelemahan sesi latihan dan mencari jalan untuk memperbaiki amalan mereka.

Refleksi menjadi lebih kuat apabila ia berlaku dalam lingkungan yang sihat, sama ada bersama mentor, rakan jurulatih atau komuniti kejurulatihan. Perbincangan selepas sesi latihan, perkongsian pengalaman, atau teguran membina daripada jurulatih yang lebih berpengalaman boleh membantu seseorang jurulatih melihat perkara yang mungkin terlepas daripada pandangannya sendiri.

Kesimpulannya, sijil kejurulatihan memang penting. Ia memberikan asas dan legitimasi kepada seseorang jurulatih. Tetapi sijil sahaja tidak mencukupi sekiranya jurulatih tidak mempunyai ruang untuk berbincang, belajar daripada pengalaman, menerima teguran dan bermuhasabah terhadap amalan mereka sendiri.

Bagi jurulatih bola sepak akar umbi, antara langkah paling praktikal ialah mencari mentor, membina circle jurulatih yang positif, dan membiasakan diri dengan proses refleksi selepas latihan atau perlawanan. Kejurulatihan bukan hanya tentang memberi arahan kepada pemain, tetapi juga tentang kesediaan jurulatih untuk terus belajar.

Dalam dunia akar umbi, jurulatih bukan sahaja membentuk pemain. Pada masa yang sama, pemain, pengalaman dan cabaran di padang juga sedang membentuk jurulatih itu sendiri.

 

Rahman Imuda merupakan Pegawai Khas kepada Menteri di Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *