Impak Perang Iran-AS-Israel terhadap kehidupan rakyat Malaysia

Kita semua tentunya berharap agar konflik yang sedang berlaku melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya dapat ditamatkan secepat mungkin. Namun melihat perkembangan semasa termasuk kegagalan rundingan diplomatik dan ketegangan berterusan di Selat Hormuz, realitinya perang ini berpotensi untuk berlarutan dalam tempoh yang lebih panjang daripada jangkaan awal.

Walaupun konflik ini berlaku jauh dari rantau kita, kesannya telah mula dirasai di seluruh dunia termasuk Malaysia. Dalam tempoh lebih enam minggu peperangan ini berlangsung, tanda-tanda awal gangguan terhadap kestabilan ekonomi global semakin jelas, khususnya dalam sektor tenaga.

Selat Hormuz yang menjadi laluan penting kepada bekalan minyak dunia kini berdepan tekanan akibat sekatan dan ketidaktentuan geopolitik. Sebarang gangguan di laluan ini akan memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan tenaga global. Apabila bekalan terjejas, harga minyak akan meningkat dan kesannya akhirnya sampai kepada rakyat biasa.

Kenaikan harga bahan api bukan sekadar isu kos pengangkutan. Ia memberi kesan berantai kepada hampir semua sektor. Nelayan misalnya mungkin terpaksa mengurangkan operasi kerana kos diesel yang tinggi. Dalam sektor pertanian pula, bekalan baja dan bahan kimia yang banyak bergantung kepada rantaian petrokimia global turut terjejas. Jika keadaan ini berlarutan, pengeluaran makanan asas seperti padi juga boleh terkesan.

Di sinilah cabaran sebenar Malaysia menjadi lebih ketara. Negara kita masih mempunyai tahap kebergantungan yang tinggi terhadap import makanan. Dalam situasi global yang tidak menentu, kebergantungan ini boleh bertukar menjadi risiko yang serius. Idea untuk menanam makanan sendiri atau memperkukuh keselamatan makanan tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara sampingan atau sekadar retorik, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai keperluan strategik.

Dalam masa yang sama, kerajaan terus memainkan peranan penting dalam melindungi rakyat daripada kejutan harga melalui subsidi. Ketika ini, subsidi RON95 dan diesel khususnya di Sabah dan Sarawak membantu mengekalkan kestabilan harga. Namun hakikatnya, semakin lama konflik ini berlarutan, semakin besar beban fiskal yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

Subsidi bersifat jangka pendek. Untuk mengekalkan harga dalam jangka panjang, kerajaan perlu mencari sumber pendapatan tambahan atau membuat penyesuaian dalam perbelanjaan. Ini bukan keputusan yang mudah dan akan memberi implikasi kepada dasar ekonomi negara secara keseluruhan.

Dalam menghadapi situasi ini, rakyat tidak perlu panik. Namun kita juga tidak boleh bersikap sambil lewa. Kesiapsiagaan adalah kunci. Krisis seperti ini menuntut kita untuk lebih berdisiplin dalam penggunaan sumber, lebih bijak dalam perbelanjaan dan lebih peka terhadap perubahan ekonomi global.

Pada masa yang sama, setiap krisis sebenarnya membuka ruang kepada peluang. Malaysia boleh mengambil kesempatan ini untuk memperkukuh keselamatan makanan, mengurangkan kebergantungan kepada import serta mempercepatkan usaha ke arah penggunaan tenaga yang lebih efisien. Pengangkutan awam juga perlu diperkasakan sebagai alternatif yang lebih mampan dalam menghadapi kenaikan kos bahan api.

Walaupun perang ini mungkin berakhir dalam masa terdekat, kesannya tidak akan hilang serta-merta. Infrastruktur yang musnah, rantaian bekalan yang terganggu serta ketidaktentuan pasaran global akan mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih sepenuhnya.

Kita pernah melalui krisis besar sebelum ini, termasuk pandemik Covid-19 yang mengajar kita tentang pentingnya solidariti sosial. Semangat KitaJagaKita yang pernah menjadi kekuatan negara perlu dihidupkan kembali dalam menghadapi cabaran baharu ini.

Dalam dunia yang semakin saling bergantung, konflik di satu sudut dunia tidak lagi bersifat lokal. Ia adalah peringatan bahawa kestabilan global dan kesejahteraan rakyat tempatan saling berkait rapat.

Rahman Imuda merupakan penulis buku dan pemerhati politik. Rahman kini berkhidmat di Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah sebagai Pegawai Khas kepada Menteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *