TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady menziarahi mangsa kebakaran Kampung Islamiah, Tawau yang kini ditempatkan sementara di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Mohamad Jantan, Tanjung Batu Keramat.
Kebakaran yang berlaku pada 8 Jun lalu memusnahkan empat buah rumah dan menyebabkan 11 keluarga membabitkan 36 mangsa hilang tempat tinggal.
Dalam lawatan tersebut, Andi bersama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terjejas sebagai tanda keprihatinan terhadap musibah yang menimpa mereka.
Menurut Andi, tiada siapa yang menginginkan musibah seperti itu berlaku, namun setiap ujian perlu dihadapi dengan kekuatan, kesabaran dan sokongan daripada semua pihak.
“Tiada siapa yang menginginkan musibah, namun setiap ujian pasti ada hikmahnya.
“Hari ini saya bersama pihak JKM menziarahi dan menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Islamiah yang kini ditempatkan sementara di Dewan O.T Mohd Jantan, Tanjung Batu,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua mangsa yang terjejas diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan tersebut.
“Semoga mereka yang terjejas diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini. Sama-sama kita terus menghulurkan bantuan dan doa buat mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, mangsa yang kehilangan tempat tinggal sebelum ini difahamkan telah merayu kepada pihak berkuasa agar tempoh penginapan mereka di PPS dapat dilanjutkan sementara menunggu penyelesaian lanjut.
Selain itu, mangsa turut dipertimbangkan untuk menerima bantuan perumahan melalui Rumah Mesra SMJ, tertakluk kepada kesesuaian tanah masing-masing.
Andi berkata, kebajikan mangsa perlu terus diberi perhatian bagi memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya sepanjang tempoh pemulihan selepas insiden kebakaran tersebut.
Beliau turut menyeru masyarakat dan pihak berkaitan agar terus menghulurkan bantuan mengikut kemampuan bagi meringankan beban keluarga yang terjejas.