KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Sukan Negeri Sabah 2025 di Ballroom Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu, semalam.
Majlis tersebut diadakan bagi menghargai warga kerja yang telah menunjukkan komitmen, integriti dan prestasi cemerlang dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab masing-masing.
Menurut Nizam, APC bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya merupakan bentuk penghargaan kepada individu yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan organisasi.
Beliau berkata, kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada dedikasi warga kerja yang melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, sama ada di peringkat pengurusan tertinggi mahupun kakitangan pelaksana.
“Majlis ini bukan sekadar acara tahunan. Ia adalah bentuk penghargaan tertinggi kepada warga kerja yang membuktikan komitmen, integriti dan prestasi luar biasa dalam memikul amanah.
“Kejayaan organisasi ini bertumpu pada dedikasi individu yang melaksanakannya,” katanya.
Nizam berkata, beliau berbangga melihat semangat kerja berpasukan yang tinggi dalam kalangan warga Majlis Sukan Negeri Sabah, khususnya dalam menjayakan pelbagai program pembangunan sukan dan pembangunan atlet di negeri ini.
Katanya, kejayaan Sabah melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa adalah hasil perancangan tersusun serta kerja keras seluruh warga sukan negeri.
“Di sebalik setiap pingat yang dimenangi, terdapat usaha besar pegawai, jurulatih, pentadbir dan kakitangan sokongan yang bekerja di belakang tabir,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor terus memberikan penekanan serius terhadap pembangunan modal insan.
Menurutnya, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah komited memperluaskan inisiatif memperkasa golongan muda melalui kepimpinan, kemahiran, keusahawanan, bakat sukan dan industri kreatif.
“Kita mahu anak muda Sabah bukan sahaja berjaya sebagai atlet dan usahawan, tetapi juga menjadi pencipta pekerjaan, penggerak ekonomi serta pemimpin masa depan,” katanya.
Nizam turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai amanah untuk terus menjadi contoh serta inspirasi kepada warga kerja lain.
Katanya, anugerah yang diterima bukan destinasi akhir, tetapi pengiktirafan terhadap perjalanan kecemerlangan yang telah dilalui.
“Anugerah ini adalah amanah untuk terus menjadi contoh, inspirasi dan pemangkin kepada rakan sekerja yang lain agar bersama-sama meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut memberi kata-kata semangat kepada warga kerja yang belum menerima pengiktirafan pada tahun ini agar terus memberikan komitmen terbaik.
Nizam berkata, setiap usaha yang ikhlas tetap mempunyai nilai dan kecemerlangan perlu dilihat sebagai satu perjalanan berterusan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KBSK, Majlis Sukan Negeri Sabah dan Lembaga Sukan Negeri Sabah atas kerjasama erat dalam memperkukuh agenda pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif negeri.
“Semoga kita semua terus melangkah ke hadapan dengan semangat Sabah Maju Jaya, memperkukuhkan budaya kerja cemerlang serta terus berkhidmat dengan penuh integriti demi kemajuan negeri Sabah yang kita cinta,” katanya.