TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menghadiri Majlis Maulid dan Haul Jaulah Dakwah bersama Syeikh Mokhtar Hashem Ghaleb di Masjid Al-Kauthar, Tawau.
Majlis penuh keberkatan itu menjadi ruang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama menghayati pengisian keagamaan, memperingati perjuangan dakwah serta menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Menurut Nizam, penganjuran majlis seperti itu amat penting dalam memperkukuh kefahaman agama, menyuburkan nilai-nilai murni serta mengeratkan hubungan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, kehadiran Syeikh Mokhtar Hashem Ghaleb yang menyampaikan ilmu dan pengisian dakwah turut memberi manfaat serta inspirasi kepada para jemaah yang hadir.
“Majlis yang penuh keberkatan ini menjadi ruang untuk bersama-sama menghayati pengisian keagamaan, memperingati perjuangan dakwah serta menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Nizam turut menghadiri Majlis Tausiyah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Syeikh Mokhtar Hashem Ghaleb di Bilik Diraja, Masjid Al-Kauthar, Tawau.

Beliau berkata, majlis tausiyah itu merupakan wadah bermakna dalam menyemai ilmu, memperkukuh kefahaman agama dan menyuburkan nilai kerohanian dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Menurutnya, perkongsian ilmu dan nasihat daripada alim ulama serta pendakwah amat penting dalam membentuk peribadi Muslim yang berilmu, berakhlak mulia dan memiliki jati diri kukuh.
“Perkongsian ilmu dan nasihat daripada para alim ulama serta pendakwah amat penting dalam membentuk peribadi seorang Muslim yang bukan sahaja berilmu, malah memiliki akhlak yang mulia, jati diri yang kukuh serta sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan,” katanya.
Nizam berharap segala ilmu, peringatan dan pengisian yang disampaikan dapat menjadi pedoman serta bekalan berharga kepada masyarakat dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Katanya, majlis ilmu seperti itu juga berperanan dalam membina keluarga dan masyarakat yang lebih beriman, berakhlak serta diberkati.
Beliau turut mendoakan agar segala usaha murni dalam menyebarkan ilmu dan dakwah terus mendapat keberkatan serta rahmat daripada Allah SWT.
“Mudah-mudahan majlis seperti ini terus diperkasakan sebagai medan menyebarkan cahaya ilmu dan mempereratkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan umat,” katanya.