Andi Suryady bawa isu peniaga kecil, industri pertahanan di Parlimen

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady terus menggunakan ruang di Dewan Rakyat untuk membawa isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan pembangunan industri strategik negara.

Dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, beliau membangkitkan kesan krisis Asia Barat yang berpanjangan terhadap peniaga kecil, penjaja dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Andi berkata, peningkatan kos logistik, harga input dan gangguan rantaian bekalan memberi tekanan besar kepada golongan peniaga yang kebanyakannya sudah berdepan kekangan modal.

Beliau meminta Menteri Kewangan menjelaskan langkah segera dan konkrit yang telah diambil kerajaan bagi memastikan peniaga kecil, penjaja dan PMKS tidak terus terbeban sehingga terpaksa menutup perniagaan akibat tekanan ekonomi global.

“Krisis Asia Barat yang berpanjangan telah menyebabkan kos logistik melonjak, harga input melambung dan rantaian bekalan terjejas teruk.

“Golongan peniaga kecil dan usahawan mikro antara yang paling terkesan, justeru mereka memerlukan langkah perlindungan yang jelas dan berkesan,” katanya.

Selain isu ekonomi rakyat, Andi turut memberi perhatian kepada pembangunan industri pertahanan tempatan.

Berdasarkan jawapan Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat, kontrak dan Program Kolaborasi Industri atau Industrial Collaboration Programme (ICP) bernilai RM3.54 bilion sedang dimanfaatkan bagi memperkukuh keupayaan industri pertahanan negara.

Program tersebut memberi penekanan kepada pemindahan teknologi, pembangunan modal insan, penyelidikan dan pembangunan serta pengukuhan keupayaan syarikat tempatan.

Antara fokus utama termasuk penetapan kuota sekurang-kurangnya 60 peratus daripada keseluruhan obligasi ICP syarikat untuk pemindahan teknologi, di samping mempercepat pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih.

Langkah itu bertujuan membolehkan syarikat tempatan mengambil alih peranan strategik yang sebelum ini bergantung kepada pembekal luar negara.

Menurut Andi, isu seperti ekonomi rakyat dan keupayaan industri strategik negara perlu terus diberi perhatian kerana kedua-duanya mempunyai kesan langsung terhadap ketahanan ekonomi dan kepentingan jangka panjang negara.

Beliau menegaskan bahawa tugas di Parlimen bukan sekadar berbahas, tetapi memastikan persoalan rakyat dibawa kepada kementerian berkaitan dan jawapan dasar diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat sebenar.

Andi berkata, suara rakyat Kalabakan akan terus dibawa dalam isu ekonomi, pembangunan, keselamatan dan kepentingan nasional agar kepentingan Sabah terus mendapat perhatian di peringkat Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *