Nizam santuni PIBG Tawau, rasmikan liga bola sepak di Lahad Datu

TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan meneruskan agenda pembangunan masyarakat melalui dua program berasingan yang memberi tumpuan kepada kecemerlangan pendidikan dan pemerkasaan sukan.

Pada sebelah pagi, beliau merasmikan Seminar Kecemerlangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Daerah Tawau yang menghimpunkan wakil daripada 83 buah PIBG di Dewan SJKC Kung Ming.

Menurut Nizam, seminar tersebut diharap dapat memperkukuh peranan, tanggungjawab dan keupayaan PIBG dalam membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan di daerah Tawau.

Beliau berkata, kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti merupakan asas penting dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta berdaya saing.

“Pengurusan PIBG yang tersusun, telus dan berkesan akan memudahkan setiap ahli melaksanakan amanah masing-masing dengan lebih cemerlang, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara sekolah dan ibu bapa demi manfaat para pelajar,” katanya.

Nizam turut mengingatkan bahawa jawatan dalam PIBG bukan platform untuk mengejar populariti atau kepentingan peribadi, sebaliknya satu amanah besar yang perlu dipikul dengan keikhlasan, komitmen dan rasa tanggungjawab.

Menurutnya, individu yang tidak mampu memberikan komitmen sewajarnya wajar memberi ruang kepada mereka yang lebih bersedia dan berkelayakan agar organisasi PIBG terus berfungsi secara efektif.

Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan komitmen untuk terus menyokong penganjuran Majlis Anugerah Anggerik Tahunan yang dijadualkan berlangsung pada Ogos nanti.

Katanya, pengiktirafan terhadap kecemerlangan amat penting sebagai penghargaan kepada warga pendidik, pelajar dan semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan pendidikan di daerah Tawau.

Pada sebelah petang, Nizam bergerak ke Lahad Datu bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Liga Bola Sepak CMC Football Club (CMC FC) Edisi Ke-4 Tahun 2026 di Kompleks Sukan Lahad Datu.

Kejohanan tersebut menghimpunkan 16 pasukan yang akan bersaing dalam CMC Football League Edisi IV Musim 2025/2026.

Perlawanan pembukaan Kumpulan A menyaksikan pertemuan antara API FC dan KBLK FC dalam aksi yang berlangsung penuh semangat dan persaingan sihat.

Perlawanan di antara API FC dan KBLK FC.

Nizam berkata, penganjuran kejohanan seperti itu penting dalam membangunkan ekosistem bola sepak di Lahad Datu, khususnya melalui pertandingan yang konsisten dan tersusun.

“Melalui pertandingan yang konsisten dan tersusun, lebih ramai pemain muda berpeluang mengetengahkan bakat mereka, meningkatkan mutu permainan serta melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan,” katanya.

Menurutnya, Lahad Datu mempunyai ramai anak muda berbakat dalam bola sepak dan usaha memperbanyakkan kejohanan perlu disokong dengan kerjasama erat antara kelab, persatuan dan pihak berkaitan.

Beliau berkata, ruang pembangunan yang berterusan amat penting supaya Lahad Datu dapat berkembang sebagai antara pusat pembangunan bola sepak yang disegani di Sabah.

Nizam turut merakamkan tahniah kepada CMC Football Club atas komitmen dan dedikasi dalam menganjurkan kejohanan tersebut.

“Semoga CMC Football League Edisi Ke-4 berlangsung dengan lancar, penuh semangat kesukanan dan terus menjadi medan melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang bakal mengharumkan nama Lahad Datu dan Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *