Nizam saksikan Perarakan Etnik sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-75 TYT Sabah

KOTA KINABALU, 25 April – Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, YB Datuk Hj. Nizam DSP Hj. Abu Bakar Titingan, hadir menyaksikan Majlis Perarakan Etnik sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah yang berlangsung meriah di Jalan Gaya, petang tadi.

Kehadiran beliau menyerlahkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong program berteraskan budaya dan perpaduan rakyat, selaras dengan aspirasi pembangunan sosial di Sabah.

Majlis tersebut menampilkan penyertaan pelbagai kumpulan etnik dari seluruh negeri yang memperagakan pakaian tradisi serta persembahan unik, sekali gus menggambarkan kekayaan warisan budaya dan keharmonian masyarakat majmuk di Sabah.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), YB Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu; Setiausaha Tetap KBSK, YBhg. Datuk Mansur Hj. Asun; serta barisan pemimpin dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Kemuncak majlis menyaksikan pelepasan rasmi peserta perarakan etnik yang menandakan bermulanya perarakan di sepanjang laluan yang telah ditetapkan, dengan sambutan hangat daripada pengunjung dan masyarakat setempat.

Nizam turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha penganjuran program seumpama ini yang bukan sahaja memelihara warisan budaya, malah memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *