Lebih 700 sertai Healthcare Charity Run 2026, Nizam puji sukan berteraskan kebajikan

KOTA KINABALU, 25 April 2026: Program Healthcare Charity Run 2026 yang berlangsung di Stadium Hoki Likas berjaya menghimpunkan lebih 700 peserta dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat serta menyokong inisiatif kebajikan masyarakat.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, yang merasmikan program tersebut berkata penganjuran berkenaan merupakan satu inisiatif murni yang menggabungkan elemen sukan dan kemanusiaan.

Program anjuran Persatuan Amal dan Ehsan Jururawat Hospital Queen Elizabeth Sabah itu turut berperanan sebagai platform kutipan dana bagi membantu pesakit talasemia di negeri ini.

Menurut Nizam, program seperti ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi membawa mesej keprihatinan sosial yang memberi impak besar kepada masyarakat.

“Sukan bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, tetapi menjadi medium untuk menyatukan masyarakat dan menyemai nilai kasih sayang serta tanggungjawab sosial,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif seumpama itu selari dengan peranan kementerian dalam menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh pembangunan komuniti serta menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia.

“Program seperti ini perlu diperkasakan dan dijadikan acara tahunan kerana manfaatnya bukan sahaja kepada kesihatan, tetapi juga kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta semua peserta yang telah menjayakan program tersebut, di samping berharap lebih banyak inisiatif berimpak tinggi dapat dilaksanakan pada masa hadapan.

Program ini dilihat sebagai contoh terbaik bagaimana sukan boleh menjadi platform untuk membantu golongan memerlukan, khususnya pesakit talasemia, sambil memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *