TAWAU, 25 April 2026: Kerajaan Sabah berpandangan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) wajar diteruskan mengikut jadual, namun dalam skala lebih sederhana, selari dengan pandangan beberapa negeri lain termasuk Sarawak.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, berkata Sabah telah membuat pelbagai persiapan termasuk peruntukan kewangan dan program latihan atlet sebagai persediaan menghadapi temasya tersebut.
Beliau berpandangan kesinambungan SUKMA penting bagi memastikan momentum pembangunan atlet tidak terjejas, khususnya sebagai persediaan ke peringkat lebih tinggi termasuk Sukan SEA.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, turut menyatakan pendirian agar SUKMA diteruskan seperti dijadualkan dengan mengambil kira komitmen kewangan serta persiapan atlet yang telah dilaksanakan di peringkat negeri.
Kesepakatan ini mencerminkan pandangan bersama negeri-negeri Borneo dalam memastikan kelangsungan temasya sukan tersebut demi pembangunan atlet serta ekosistem sukan negara secara keseluruhan.
Nizam bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan akhir berhubung penganjuran SUKMA akan ditentukan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bersama kerajaan negeri tuan rumah, dan Sabah akan menghormati sebarang keputusan yang dibuat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Sabah meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 40 pingat emas pada temasya SUKMA akan datang.
Selain itu, beliau turut memaklumkan perkembangan projek Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC) yang kini dalam pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Menurutnya, kemudahan tersebut bakal dilengkapi dewan konvensyen berkapasiti kira-kira 2,000 orang serta fasiliti sokongan lain yang berpotensi menarik penganjuran program bertaraf antarabangsa ke Tawau.
Perkembangan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan sukan serta infrastruktur sokongan selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.