KOTA KINABALU, 24 April 2026: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Pengerusi Penganjur, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, meninjau sesi raptai penuh Majlis Hari Etnik Sabah 6.0 sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), malam tadi.
Raptai yang berlangsung dalam suasana penuh warna-warni itu melibatkan perarakan pelbagai etnik Sabah, sebagai persiapan bagi memastikan kelancaran acara sebenar yang bakal berlangsung sempena sambutan rasmi TYT.
Menurut Nizam, sesi raptai penuh ini penting bagi memastikan setiap perincian termasuk persembahan kebudayaan serta aspek teknikal berada pada tahap terbaik.
“Majlis ini bukan sekadar sambutan, tetapi manifestasi kebanggaan kita terhadap kepelbagaian etnik di Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyelarasan rapi melalui raptai ini akan membantu memperkemas setiap atur cara perarakan agar dapat dipersembahkan dengan lebih tersusun dan lancar.
Turut hadir Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Mansur Hj. Asun, bersama pegawai kementerian dan agensi yang terlibat.
Penganjuran Hari Etnik Sabah 6.0 dilihat sebagai platform penting dalam mempromosikan kepelbagaian budaya serta memperkukuh perpaduan masyarakat selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.