Nizam santuni komuniti Cina Tawau Lama dalam Program Ramah Mesra

TAWAU: Majlis Hi-Tea dan Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Warga Cina Tawau Lama berlangsung meriah di Cowie Bay, Tawau Lama, Sabtu lepas.

Program tersebut diadakan bagi memperkukuh hubungan silaturahim antara kepimpinan setempat dengan komuniti, selain menjadi ruang untuk mendengar pandangan, keperluan dan aspirasi masyarakat Tawau Lama.

Turut hadir memeriahkan program berkenaan ialah Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Tuan M. Azirian Syah Ali, serta Ketua Pemuda PGRS Bahagian Apas, Saudara Khazaruddin Kahar.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan berkata, program seumpama itu memainkan peranan penting dalam memupuk persefahaman antara masyarakat berbilang kaum.

Menurutnya, keharmonian yang dinikmati di Sabah hari ini merupakan hasil daripada semangat perpaduan dan sikap saling menghormati yang telah lama menjadi asas kekuatan negeri.

“Program seumpama ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim, memupuk persefahaman antara masyarakat berbilang kaum serta menjadi platform untuk mendengar pandangan, keperluan dan aspirasi komuniti setempat,” katanya.

Nizam berkata, masyarakat Cina merupakan antara komponen penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi Sabah, khususnya melalui sumbangan dalam bidang perniagaan, pendidikan, kebajikan serta pembangunan komuniti.

Katanya, sumbangan berterusan masyarakat Cina telah banyak membantu memacu kemajuan negeri dan memperkukuh jaringan ekonomi serta sosial di peringkat akar umbi.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum dan latar belakang, terus diberi perhatian serta peluang yang saksama.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan setiap lapisan masyarakat terus diberi perhatian, peluang yang saksama serta ruang untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan Sabah yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja penganjur serta komuniti Tawau Lama atas sambutan yang meriah dan penuh semangat kebersamaan.

Beliau berharap hubungan erat yang terjalin melalui program berkenaan dapat terus diperkukuh demi kemajuan, keharmonian dan kesejahteraan bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *