KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady merasmikan Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Terbuka dan Pertandingan Bola Tampar Wanita Terbuka anjuran Majlis Belia FELDA Malaysia 01 dan FELMAS FV, semalam.
Program sukan tersebut berlangsung meriah dengan penyertaan komuniti setempat, khususnya golongan belia, sekali gus menjadi ruang untuk memupuk semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama dalam kalangan peserta.
Menurut Andi, penganjuran aktiviti sukan di peringkat komuniti amat penting kerana ia bukan sahaja memberi peluang kepada belia untuk menyerlahkan bakat, malah turut mengeratkan hubungan masyarakat melalui suasana yang sihat dan positif.
Beliau berkata, sukan mampu menjadi medium berkesan untuk memperkasa generasi muda, membentuk sahsiah dan menyatukan komuniti tanpa mengira latar belakang.
“Sukan bukan sekadar mencari juara, tetapi membina sahsiah dan menyatukan kita semua,” katanya.
Andi turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan penganjuran pertandingan tersebut, termasuk pihak penganjur, sukarelawan, peserta dan komuniti FELDA Umas yang terlibat.
Katanya, semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama yang dipamerkan sepanjang pertandingan wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda untuk terus cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi.
Beliau berkata, program seperti itu perlu terus digalakkan kerana ia mampu melahirkan belia yang lebih aktif, berdaya saing dan mempunyai semangat kebersamaan yang tinggi.
“Semoga semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama yang dipamerkan sepanjang pertandingan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.
Andi turut menegaskan bahawa usaha memperkasa belia melalui sukan akan terus diberi perhatian, khususnya di kawasan Parlimen Kalabakan, bagi membina komuniti yang lebih sihat, aktif dan bersatu.