KOTA KINABALU, 10 April 2026: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, mempengerusikan Mesyuarat Penurunan Kuasa Menteri Persekutuan kepada Menteri Negeri Sabah di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) dalam satu sesi perbincangan strategik di sini, baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut menjadi platform penting untuk memperhalusi cadangan penurunan kuasa yang berpotensi memperkukuh peranan kerajaan negeri dalam pengurusan serta pembangunan sektor sukan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Menurut Nizam, usaha tersebut selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dalam memastikan pembangunan sukan negeri dapat dilaksanakan secara lebih holistik, progresif dan berdaya saing.
“Kita komited memastikan setiap perincian yang dirangka mampu memberi nilai tambah jangka panjang, khususnya dalam memperkasa ekosistem sukan negeri serta pembangunan atlet Sabah,” katanya.
Turut terlibat dalam perbincangan ialah Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, bersama pasukannya yang meneliti aspek perundangan dan teknikal bagi memastikan cadangan tersebut selari dengan kerangka undang-undang sedia ada.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Mansur Hj. Asun; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemajuan Sukan), Adanan @ Adnan Atin; Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor; serta pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.
Perbincangan tersebut masih di peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan, namun KBSK menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan rundingan mencapai hasil terbaik demi memperkukuh tadbir urus sukan negeri serta memperluas autonomi secara mampan.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha strategik kerajaan negeri untuk memperkasakan sektor sukan Sabah ke tahap yang lebih tinggi melalui pendekatan dasar yang lebih tersusun dan responsif terhadap keperluan semasa.