Nizam meriahkan Festival Komuniti Havoc 2026, tayangan Final Piala Dunia satukan rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan hadir memeriahkan Festival Komuniti Havoc 2026 di Kompleks Sukan Likas, Ahad lepas.

Beliau hadir bersama isteri bagi menyaksikan kemeriahan ribuan peminat bola sepak tempatan yang membanjiri kawasan berkenaan sempena tayangan langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 menerusi skrin besar.

Menurut Nizam, suasana luar biasa pada malam tersebut membuktikan bahawa bola sepak terus menjadi sukan yang dekat dengan rakyat dan mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang.

Katanya, kejohanan kali ini bukan sahaja menyaksikan Sepanyol muncul juara dunia buat kali kedua selepas menewaskan Argentina 1-0, malah turut menjadi platform penting untuk memperkukuh semangat perpaduan melalui sukan.

“Sukan mampu menjadi medium terbaik untuk mengeratkan perpaduan masyarakat. Melihat ribuan peminat bola sepak tempatan berkumpul bersama dalam suasana meriah seperti ini benar-benar membuktikan kekuatan sukan sebagai penyatu rakyat,” katanya.

Nizam berkata, kejayaan penganjuran program berskala besar itu adalah hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan serta Kementerian Komunikasi Malaysia.

Melalui kolaborasi tersebut, tayangan skrin besar perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 dapat diperluaskan dan dinikmati secara serentak oleh komuniti di enam daerah, iaitu Kota Kinabalu, Beaufort, Kudat, Keningau, Sandakan dan Tawau.

Beliau berkata, selain menyemarakkan bahang bola sepak dunia, festival berkenaan turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat, khususnya kepada usahawan belia tempatan.

Katanya, aktiviti jualan makanan, minuman dan pelbagai produk kreatif di lokasi penganjuran membuka peluang kepada usahawan muda untuk menjana pendapatan serta memperkenalkan produk masing-masing kepada masyarakat.

“Festival seperti ini bukan sahaja menghimpunkan peminat bola sepak, tetapi turut memberi ruang kepada usahawan belia tempatan untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti ekonomi komuniti,” katanya.

Nizam berharap kemeriahan program tersebut dapat memberi suntikan semangat kepada generasi muda di Sabah untuk lebih aktif dalam sukan bola sepak.

Menurutnya, Sabah mempunyai potensi besar untuk melahirkan lebih ramai bakat bola sepak berkualiti sekiranya minat dan sokongan terhadap sukan itu terus dipupuk dari peringkat akar umbi.

“Impian kita adalah untuk melihat Sabah melahirkan lebih ramai bakat bola sepak berkualiti yang mampu melangkah jauh sehingga mewakili Malaysia ke pentas Piala Dunia pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut berkata, melihat kepada impak positif dan manfaat besar program itu terhadap pembangunan belia, kementeriannya sentiasa bersedia mempertimbangkan inisiatif tayangan langsung bagi kejohanan sukan antarabangsa lain pada masa akan datang.

Katanya, program seumpama itu bukan sahaja menghidupkan budaya sukan dalam kalangan masyarakat, malah turut memperkukuh agenda pembangunan belia, komuniti dan ekonomi kreatif di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *