KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady menghadiri Sesi Kamar Khas bersama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Sumber Manusia bagi membincangkan beberapa isu berkaitan FELDA serta e-hailing yang memberi kesan kepada penduduk di kawasan Kalabakan.
Menurut Andi, sesi tersebut menjadi platform penting untuk mendapatkan penjelasan terus daripada kementerian, selain menyuarakan isu rakyat di peringkat Persekutuan supaya setiap perkara yang dibangkitkan mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.
Antara perkara utama yang dibangkitkan ialah status rundingan projek 1,000 unit rumah generasi kedua FELDA Umas dengan pemaju swasta, koordinasi tanah dengan Kerajaan Negeri Sabah serta intervensi pembiayaan seperti Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
Berdasarkan penjelasan FELDA, tiada rundingan rasmi pernah diadakan dengan mana-mana pemaju swasta bagi projek 1,000 unit rumah berkenaan.
FELDA turut memaklumkan bahawa rumah contoh atau pelan pemasaran yang sedia ada merupakan inisiatif sendiri pihak pemaju dan belum mendapat kelulusan FELDA.
Dari segi status tanah, tapak cadangan dikenal pasti sebagai tanah milik FELDA yang bersyarat nyata sebagai tanah pertanian, masih aktif mengeluarkan hasil kelapa sawit dan mempunyai struktur berbukit yang kurang sesuai untuk pembangunan perumahan.
Pada masa ini, tumpuan FELDA di Wilayah Sahabat dan Sabah adalah kepada usaha menaik taraf utiliti air dan elektrik bagi penduduk sedia ada.
Dalam aspek pembiayaan, FELDA bekerjasama dengan Agrobank, Bank Simpanan Nasional, Bank Islam, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) serta sokongan jaminan daripada SJKP berdasarkan syarat kredit.
Sesi tersebut turut memperincikan senarai projek pembangunan fizikal semasa di Gugusan Umas, termasuk Projek Loji Rawatan Air Umas yang sedang dilaksanakan bagi menaik taraf sistem air bersih daripada kapasiti bekalan 4MLD kepada 5MLD.
Selain itu, projek gantian 24 unit bilik darjah, bangunan pentadbiran dan makmal sains di SK Umas-Umas turut dilaksanakan oleh ICU JPM Sabah bagi menyediakan persekitaran sekolah luar bandar yang lebih kondusif.
Bagi infrastruktur jalan dan parit, dua pakej naik taraf sedang berjalan dengan kos masing-masing RM3.19 juta dan RM1.37 juta melibatkan kawasan Umas 1, 2, 3 dan 4.
Kompleks Komuniti FELDA Umas juga dijadualkan siap pada April 2027 sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan, sukan dan pendidikan.
Dalam aspek pemerkasaan sosioekonomi, beberapa program turut dikenal pasti, termasuk Sejati MADANI dengan peruntukan RM762,000 bagi 11 projek komuniti melibatkan sewa alat majlis, pelancongan, pertanian, penternakan, dobi dan homestay.
Turut diberi perhatian ialah Program Pembangunan Peneroka (PPP), Tabung Usahawan Belia FELDA, pelancongan dan ekopelancongan serta latihan pemasaran digital termasuk penyertaan usahawan FELDA Umas ke Sabah International Food Expo 2026.
Selain isu FELDA, Andi turut membangkitkan isu berkaitan kebajikan pekerja e-hailing, termasuk hak pekerja jika syarikat menukar terma kontrak seperti kadar komisen atau kadar lantai secara sebelah pihak.
Kementerian Sumber Manusia memaklumkan tindakan sedemikian boleh melanggar peruntukan Akta Pekerja Gig 2025, manakala pekerja boleh menggunakan saluran aduan dalaman syarikat, e-Aduan KESUMA dan seterusnya merujuk kepada Tribunal Pekerja Gig sekiranya gagal diselesaikan.
Bagi isu komisen tinggi dan penurunan kadar tambang minimum pemandu e-hailing, Majlis Perundingan Gig yang turut dianggotai wakil Sabah telah ditubuhkan pada 1 April 2026 bagi merundingkan kadar lantai dan komisen.
Kajian khas berhubung pampasan adil juga sedang dilaksanakan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum dan formula penghantaran pantas, yang dijangka selesai pada September 2026 untuk diwartakan sebagai Perintah Menteri.
Dalam aspek perlindungan sosial, pekerja gig dikategorikan sebagai Orang Bekerja Sendiri, dengan caruman PERKESO dilaksanakan melalui mekanisme mikro-potongan sebanyak 1.25 peratus daripada setiap transaksi tanpa bayaran pukal.
Setakat 31 Mei 2026, seramai 1.008 juta pekerja gig telah dilindungi di bawah Skim LINDUNG Kendiri.
Andi berkata beliau akan terus memperjuangkan isu yang memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan kawasan, khususnya melibatkan FELDA, belia, komuniti setempat serta pekerja ekonomi gig.
“Sesi ini menjadi platform penting untuk mendapatkan penjelasan, menyuarakan isu di peringkat kementerian serta memastikan setiap perkara yang dibangkitkan mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.
“Saya akan terus memperjuangkan isu-isu yang memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan kawasan, demi Kalabakan yang lebih baik,” katanya.