Nizam: Golden Wind Award iktiraf keberanian dan bakat komuniti kreatif Sabah

KOTA KINABALU: Golden Wind Award kali ke-4 menjadi platform penting dalam mengiktiraf bakat, usaha dan keberanian komuniti kreatif Sabah yang terus berkarya serta memperjuangkan ruang mereka dalam industri seni dan kreatif.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan berkata, majlis tersebut bukan sekadar acara penghargaan biasa, sebaliknya membawa makna besar kepada pembangunan ekosistem kreatif negeri.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Golden Wind Award kali ke-4 yang berlangsung meriah di Ballroom, Hotel 7 Suria, Kota Kinabalu, semalam.

Menurut Nizam, penganjuran anugerah itu mencerminkan pengiktirafan terhadap penggiat seni Sabah yang selama ini menjadi nadi kepada perkembangan industri kreatif tempatan, termasuk pembikin filem, pengarah, penerbit, penulis, pelakon, tenaga produksi, ahli akademik dan rakan media.

“Majlis ini bukan sekadar satu acara penghargaan biasa. Lebih besar daripada itu, ia merupakan satu pengiktirafan tertinggi terhadap bakat, usaha, keberanian dan kesungguhan komuniti kreatif Sabah yang selama ini terus bergerak, berkarya serta memperjuangkan ruang mereka sendiri,” katanya.

Nizam berkata, kehadiran tokoh industri termasuk Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Gerald Hans Isaac, turut memberi impak besar kepada majlis tersebut.

Katanya, kehadiran FINAS memperlihatkan ruang kerjasama strategik yang lebih kukuh antara Kerajaan Negeri, agensi Persekutuan dan pemain industri dalam membangunkan sektor kreatif Sabah.

Beliau berkata, industri kreatif tidak boleh dilihat hanya sebagai hiburan semata-mata kerana sektor itu turut berkait rapat dengan pemerkasaan ekonomi, peluang pekerjaan dan pembentukan identiti negeri.

Menurutnya, karya kreatif mampu memperkenalkan budaya, warisan, bahasa dan cerita masyarakat Sabah ke persada yang lebih luas, termasuk peringkat nasional dan antarabangsa.

“Apabila kita bercakap tentang industri kreatif, kita sebenarnya tidak hanya bercakap tentang hiburan semata-mata.

“Kita sedang bercakap tentang pemerkasaan ekonomi, penyediaan peluang pekerjaan dan pembentukan identiti yang memperkenalkan budaya, warisan, bahasa serta cerita masyarakat Sabah ke persada dunia,” katanya.

Nizam berkata, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) tidak mahu bergerak secara tergesa-gesa dalam merangka hala tuju industri kreatif negeri tanpa mendengar suara pemain industri.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa kementerian sedang meneliti dan menyediakan asas kepada Blueprint Ekonomi Kreatif Sabah yang lebih komprehensif, inklusif dan berpandangan jauh.

Katanya, blueprint tersebut akan melihat keseluruhan rantaian nilai industri kreatif, merangkumi pembangunan bakat, dana, infrastruktur dan kebajikan penggiat seni.

Beliau berkata, tumpuan itu merentasi pelbagai cabang kreatif seperti filem, muzik, animasi, digital, fesyen dan kraftangan.

Sebagai langkah seterusnya, Nizam berkata KBSK akan mengadakan sesi Townhall Ekonomi Kreatif Sabah dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan, cadangan dan maklum balas secara langsung daripada penggiat industri.

“Dasar yang baik tidak boleh hanya lahir dari meja pejabat, ia mesti mendengar suara mereka yang berada di lapangan.

“Saya mahu komuniti kreatif Sabah terlibat secara aktif. Nyatakan cabaran sebenar anda agar kita dapat merangka hala tuju yang lebih tepat dan inklusif,” katanya.

Nizam turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Golden Wind Award kali ke-4 serta seluruh penggiat seni yang terus memberi warna kepada industri kreatif Sabah.

Beliau berkata, keberanian anak seni Sabah untuk terus berkarya perlu diraikan dan disokong agar sektor kreatif negeri dapat berkembang sebagai antara pemacu ekonomi baharu pada masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *