KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan Persekutuan dalam usaha memperkasa pembangunan belia, kemajuan sukan serta pertumbuhan ekonomi kreatif di negeri ini.
Usaha tersebut dizahirkan menerusi kunjungan hormat Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dr. Mohammed Taufiq Johari bersama Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan ke atas Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, di Menara Kinabalu, pagi tadi.
Menurut Nizam, pertemuan itu menjadi platform penting dalam menyelaraskan visi pembangunan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, khususnya melalui pelaksanaan agenda yang melibatkan pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif di Sabah.
“Pertemuan ini menjadi platform strategik dalam menyelaraskan visi Persekutuan dan negeri demi memacu potensi anak muda kita,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited memastikan setiap inisiatif yang dirancang memberi impak langsung kepada rakyat, khususnya dalam melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing dan berkemahiran.
Katanya, antara perkara yang turut dibincangkan termasuk usaha memperkasakan pembangunan modal insan, menaik taraf fasiliti sukan negeri serta mengukuhkan ekosistem ekonomi kreatif bagi membuka lebih banyak peluang kepada belia Sabah.
“Sinergi erat di antara kementerian Persekutuan dan negeri amat penting bagi memastikan tiada golongan belia yang tercicir daripada arus kemajuan,” katanya lagi.