Nizam pengerusikan mesyuarat SAFA Tawau, fokus pembangunan akar umbi

TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa SAFA Tawau yang berlangsung di Restoran Stamin, malam tadi.

Mesyuarat tersebut memberi fokus kepada beberapa perancangan strategik jangka masa terdekat dalam usaha memperkukuh pembangunan bola sepak di daerah Tawau, khususnya di peringkat akar umbi.

Antara agenda utama yang dibincangkan ialah penganjuran Kursus Asas Kejurulatihan sebagai platform melahirkan lebih ramai jurulatih bola sepak bertauliah dalam kalangan belia tempatan yang berpotensi.

Menurut Nizam, usaha memperkasa ilmu dan pembangunan kejurulatihan penting dalam memastikan ekosistem bola sepak di Sabah terus berkembang secara lebih tersusun dan berkualiti.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan SAFA Tawau dalam memperkasakan ekosistem bola sepak akar umbi melalui pembangunan ilmu kejurulatihan yang sistematik dan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan jurulatih tempatan turut memainkan peranan penting dalam melahirkan lebih ramai bakat bola sepak yang mampu bersaing pada masa hadapan.

Mesyuarat itu turut menjadi platform menyelaras hala tuju pembangunan bola sepak Tawau selaras dengan aspirasi memperkukuh pembangunan sukan di peringkat negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *