TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan memenuhi jemputan merasmikan Pesta Tarian Igal-Igal dan Peragaan Busana Tradisional Kanak-Kanak yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Hidayat, Batu 4½ Jalan Apas, semalam.
Program anjuran Kelab Danakan bersama komuniti kampung itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan ramai kanak-kanak dalam pertandingan tarian igal-igal serta peragaan busana tradisional.
Menurut Nizam, penganjuran program seumpama itu membuktikan komitmen berterusan masyarakat setempat dalam memelihara dan mengangkat warisan budaya tempatan, khususnya melalui penglibatan generasi muda.
“Dalam era kemajuan teknologi yang berkembang pesat hari ini, usaha memelihara adat dan budaya warisan tidak boleh dipinggirkan kerana nilai budaya inilah yang membentuk identiti dan jati diri sesebuah masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, Tawau sememangnya terkenal sebagai daerah yang kaya dengan kepelbagaian budaya, termasuk melalui penganjuran Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau yang saban tahun menarik perhatian masyarakat pelbagai latar belakang.
Nizam turut melahirkan rasa bangga melihat sambutan dan sokongan masyarakat terhadap program kebudayaan seperti itu, yang menurutnya membuktikan kecintaan terhadap warisan budaya masih subur dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, khususnya Kelab Danakan dan komuniti Kampung Hidayat atas usaha memartabatkan budaya tradisional agar terus diwarisi generasi akan datang.