KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady menjemput seluruh warga Parlimen Kalabakan untuk hadir memeriahkan Program Jelajah Rakyat dan Jualan Rahmah MADANI Parlimen Kalabakan pada 1 Ogos 2026 ini.
Program tersebut dijadual berlangsung di Dewan Terbuka, Pejabat Daerah Kalabakan dan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Menurut Andi, program berkenaan menjadi ruang penting untuk rakyat mendapatkan manfaat secara langsung melalui kehadiran pelbagai agensi kerajaan serta pelaksanaan Jualan Rahmah MADANI.
Beliau berkata, inisiatif seperti itu bukan sahaja mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat, tetapi turut memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat, bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh agensi berkaitan.
“Saya dengan penuh hormat menjemput seluruh warga Parlimen Kalabakan untuk hadir memeriahkan Program Jelajah Rakyat dan Jualan Rahmah MADANI yang akan disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sabah,” katanya.
Andi berkata, kehadiran pelbagai perkhidmatan agensi kerajaan di lokasi program akan memudahkan penduduk setempat berurusan tanpa perlu bergerak jauh ke pusat bandar atau pejabat berkaitan.
Katanya, Jualan Rahmah MADANI pula diharap dapat membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat melalui tawaran barangan keperluan pada harga yang lebih berpatutan.
Beliau turut berharap program tersebut menjadi medan pertemuan antara pemimpin, agensi kerajaan dan rakyat, selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat Kalabakan.
“Saya berharap program ini menjadi ruang untuk kita bertemu, mengeratkan silaturahim dan bersama-sama menikmati manfaat yang disediakan.
“Jumpa anda di sana,” katanya.
Andi turut memaklumkan bahawa sebarang perubahan berkaitan program akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi.