Nizam pengerusikan Mesyuarat Persiapan SUKMA dan Para SUKMA 2026

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), MUIS Kota Kinabalu, semalam.

Mesyuarat tersebut memberi fokus kepada penyelarasan gerak kerja serta persiapan kontinjen Sabah bagi menghadapi temasya SUKMA dan Para SUKMA 2026.

Menurut Nizam, kerajaan negeri komited memastikan setiap aspek persiapan dilaksanakan secara tersusun bagi membolehkan atlet Sabah memberikan saingan yang kompetitif pada temasya berkenaan.

“Fokus utama kami adalah memastikan gerak kerja dan persiapan kontinjen Sabah tersusun rapi agar mampu memberikan saingan sengit pada temasya tersebut,” katanya.

Beliau berkata, perhatian turut diberikan terhadap aspek kebajikan atlet termasuk sokongan latihan, fasiliti dan keperluan berkaitan bagi memastikan mereka dapat mencapai prestasi terbaik.

“Kita komited untuk memberikan sokongan terbaik dan menjaga kebajikan atlet agar mereka memberikan prestasi terbaik menjelang SUKMA dan Para SUKMA 2026,” katanya lagi.

SUKMA dan Para SUKMA 2026 dijangka menjadi medan penting untuk mengetengahkan bakat atlet muda Sabah di peringkat kebangsaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *