KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady, menerima kunjungan hormat daripada wakil Gabungan E-Hailing Tawau (GEITA), Pertubuhan Perpaduan Etnik Tawau (PPET) serta Pertubuhan Komuniti Teknik dan Vokasional Sabah (SATVOC) bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kebajikan rakyat, perpaduan komuniti dan pembangunan pendidikan TVET di Tawau.
Dalam pertemuan tersebut, wakil GEITA turut menyerahkan memorandum berkaitan kebajikan pekerja e-hailing di kawasan Tawau yang berdepan pelbagai cabaran kos operasi dan pendapatan semasa.
Antara isu utama dibangkitkan ialah kadar komisen platform yang tinggi, penurunan kadar tambang berbanding sebelum pandemik COVID-19, serta keperluan kemudahan asas seperti kawasan menunggu dan parkir khas untuk pemandu e-hailing.
Menurut memorandum itu, potongan komisen sekitar 20 peratus bagi setiap tempahan dianggap membebankan pemandu memandangkan kos minyak, penyelenggaraan kenderaan dan perlindungan insurans semakin meningkat.
Selain itu, mereka turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan penambahbaikan dasar dan kemudahan bagi membantu kebajikan pekerja gig yang bergantung sepenuhnya kepada sektor e-hailing sebagai sumber pendapatan harian.
Andi berkata, pertemuan tersebut menjadi platform penting untuk mendengar sendiri pandangan dan cabaran yang dihadapi komuniti setempat termasuk golongan pekerja gig.
“Pertemuan ini membuka ruang kerjasama yang lebih erat dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan, kebajikan masyarakat serta memperkukuh perpaduan demi kemajuan kawasan Parlimen Kalabakan,” katanya.
Beliau turut menghargai pandangan serta cadangan yang dikemukakan dan berharap lebih banyak kerjasama dapat diwujudkan bersama NGO dan komuniti setempat demi manfaat rakyat di kawasan Kalabakan.