TYT Tun Musa Aman santuni kanak-kanak pada program di Tawau

TAWAU: Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman menghadiri Majlis Jamuan Teh Bersama Kanak-Kanak sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah yang berlangsung di Borneo Royale Hotel Tawau, semalam.

Majlis penuh mesra itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan bersama isteri, Datin Hajah Wahida Mardiana Norsalim serta barisan pemimpin negeri dan masyarakat setempat.

Pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang majlis termasuk persembahan khas, upacara memotong kek, penyampaian mock cheque kepada institusi kebajikan serta pemberian buah tangan kepada kanak-kanak yang hadir.

Program tersebut diadakan bagi meraikan golongan kanak-kanak di samping menyemarakkan semangat kasih sayang, keprihatinan dan kebersamaan dalam masyarakat.

Menurut Nizam, sambutan yang diberikan jelas mencerminkan penghargaan masyarakat terhadap usaha kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terus diberi perhatian.

Majlis bergambar dengan para peserta program

“Kehadiran serta keceriaan anak-anak pada majlis ini jelas menyemarakkan lagi suasana sambutan dan mencerminkan semangat kebersamaan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan Dirgahayu kepada TYT Tun Musa Aman dan mendoakan agar Yang di-Pertua Negeri Sabah terus dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa berada di bawah rahmat dan perlindungan Allah SWT dalam memimpin rakyat Sabah.

Selesai majlis tersebut, Nizam turut mengiringi keberangkatan pulang TYT Tun Musa Aman ke Kota Kinabalu selepas menghadiri beberapa program rasmi sempena lawatan kerja di Tawau.

Keberangkatan pulang TYT Sabah sekitar jam 5 petang turut diiringi barisan pemimpin negeri, pegawai kanan kerajaan serta masyarakat setempat sebagai tanda penghormatan dan penghargaan atas kehadiran beliau ke daerah itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *