KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menghadiri Perhimpunan Agung Khas PGRS yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), semalam.
Perhimpunan tersebut dirasmikan Presiden PGRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan turut menghimpunkan perwakilan serta ahli sayap parti dari seluruh Sabah.
Menurut Nizam, kira-kira 60 perwakilan termasuk ahli Wanita, Pemuda dan Beliawanis dari Apas turut hadir bagi bersama-sama menjayakan perhimpunan khas berkenaan.
Agenda utama persidangan tersebut ialah membincangkan usul pindaan perlembagaan parti berkaitan penyusunan semula struktur bahagian daripada 74 kepada 26 kawasan Parlimen di Sabah dan Labuan.
Susulan cadangan pindaan itu, DUN Apas, Balung dan Sri Tanjong akan diselaraskan di bawah PGRS Tawau.
Nizam berkata, penstrukturan semula itu merupakan langkah penting dalam memastikan gerak kerja parti lebih tersusun, fokus dan berkesan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kita mahu memastikan setiap bahagian bergerak sebagai satu pasukan yang kuat, aktif dan bersedia dalam memperjuangkan kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan negeri untuk rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pindaan tersebut sebagai usaha memperkukuh organisasi parti supaya lebih efisien dari aspek penyelarasan, pemantauan dan pelaksanaan gerak kerja di peringkat akar umbi.
“Apa yang penting ialah memastikan parti terus kukuh, bersatu dan mempunyai hala tuju yang jelas demi masa depan Sabah yang lebih stabil, maju dan sejahtera,” katanya.