TAWAU: Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Kali Ke-11 Tahun 2026 secara rasminya melabuhkan tirai dalam suasana penuh gilang-gemilang di Perkarangan Majlis Perbandaran Tawau, malam tadi.
Majlis penutupan festival berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sekali gus menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan warisan budaya sebagai aset penting pembangunan negeri.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas kesudian menyempurnakan majlis penutupan FKAT Ke-11.
Menurut Nizam, penganjuran FKAT kali ini sekali lagi membuktikan kekuatan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti dan etnik di Sabah, khususnya masyarakat Tawau yang terus menjadikan festival itu sebagai acara kebanggaan bersama.
“Sepanjang penganjuran festival ini, saya amat berbangga melihat komitmen padu serta semangat kebersamaan yang dipamerkan oleh seluruh komuniti dan etnik di Sabah dalam menjayakan festival yang menjadi kebanggaan rakyat Tawau ini,” katanya.
Beliau berkata, FKAT edisi kali ini turut mencatat pencapaian istimewa menerusi penyertaan delegasi kebudayaan antarabangsa dari lima negara, iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Kemboja, Indonesia dan Sri Lanka.
Katanya, kehadiran delegasi antarabangsa itu bukan sahaja menyemarakkan kemeriahan festival, malah memperkukuh hubungan persahabatan, pertukaran budaya serta membuka ruang lebih luas kepada promosi pelancongan Sabah, khususnya Tawau, di peringkat antarabangsa.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT) selaku penganjur utama yang terus komited menjayakan FKAT sehingga memasuki edisi ke-11.
Beliau berkata, kejayaan penganjuran festival tersebut tidak akan tercapai tanpa dedikasi seluruh warga MPT, jawatankuasa pelaksana, agensi kerajaan, penaja, sukarelawan serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
“Kualiti persembahan yang dipamerkan pada setiap tahun jelas menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan.
“Persembahan seni, muzik, tarian tradisional, adat resam serta demonstrasi kepahlawanan etnik tempatan telah dipersembahkan dengan penuh kreatif dan profesional, sekali gus menyerlahkan kekayaan warisan budaya yang menjadi identiti Sabah,” katanya.
Menurut Nizam, sambutan luar biasa masyarakat terhadap FKAT Ke-11 membuktikan festival berkenaan terus mendapat tempat di hati rakyat.
Katanya, kehadiran pengunjung yang dianggarkan mencecah 50,000 orang sepanjang festival berlangsung sehingga malam kemuncak menunjukkan FKAT kini muncul sebagai antara acara pelancongan dan kebudayaan yang paling dinantikan di Sabah.
Pada majlis penutupan itu, turut berlangsung penyampaian Anugerah Tokoh FKAT sebagai penghargaan kepada tiga tokoh yang berjasa dalam mencetuskan serta meletakkan asas kepada penganjuran festival berkenaan sejak peringkat awal.
Salah seorang penerima anugerah tersebut ialah Allahyarham Datuk Haji Tawfiq Abu Bakar Titingan, yang diwakili anakanda beliau, Tuan Haji Mustaqeem, bagi menerima penghormatan tersebut bagi pihak keluarga.
Sebagaimana tradisi tahunan, para hadirin turut disajikan dengan perarakan kebudayaan pelbagai etnik, diikuti persembahan pentas yang menampilkan tarian tradisional, busana warisan serta kesenian masyarakat pelbagai kaum.
Nizam berkata, persembahan tersebut memperlihatkan keharmonian dan kekayaan budaya yang menjadi kebanggaan Sabah.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus meletakkan perpaduan dan penyatuan melalui kepelbagaian budaya sebagai teras utama dalam mengekalkan keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
“Warisan budaya bukan sekadar khazanah yang perlu dipelihara, malah merupakan pemangkin kepada pembangunan pelancongan, ekonomi kreatif serta pengukuhan jati diri masyarakat,” katanya.
Nizam berharap semangat yang dizahirkan sepanjang FKAT Ke-11 akan terus diperkasakan pada tahun-tahun mendatang dengan pengisian lebih besar dan bermakna.
“Insya-Allah, kita bertemu lagi pada edisi yang akan datang dengan lebih banyak pengisian yang mampu mengangkat nama Tawau dan Sabah ke persada dunia.
“Kekalkan perpaduan, martabatkan seni budaya kita,” katanya.