SELANGOR: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menghadiri Majlis Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, semalam.
Majlis penutupan temasya berkenaan disempurnakan oleh DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, dalam suasana penuh gilang-gemilang.
Nizam hadir bersama rombongan Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah bagi memberikan sokongan kepada kontinjen Negeri di Bawah Bayu yang menamatkan saingan dengan pencapaian membanggakan.
Kontinjen Sabah secara rasmi menutup cabaran SUKMA Selangor 2026 dengan kutipan 30 pingat emas, 27 pingat perak dan 36 pingat gangsa.
Menurut Nizam, pencapaian itu amat membanggakan seluruh rakyat Sabah dan menjadi bukti kesungguhan para atlet, jurulatih, pengurus pasukan serta seluruh petugas sokongan yang berjuang membawa nama negeri.
“Temasya kali ini melabuhkan tirai dengan pencapaian yang sangat membanggakan buat Negeri di Bawah Bayu.
“Kontinjen Sabah secara rasminya menutup saingan dengan kutipan 30 pingat emas, 27 perak dan 36 gangsa,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua 744 atlet wira dan wirawati Sabah yang telah memberikan komitmen terbaik sepanjang temasya berlangsung.
Katanya, kejayaan tersebut turut didukung oleh 148 jurulatih, 51 pengurus pasukan serta seluruh petugas sokongan yang memainkan peranan penting dalam memastikan persiapan, kebajikan dan prestasi atlet berada pada tahap terbaik.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan syabas saya ucapkan kepada semua 744 atlet wira dan wirawati Sabah, 148 jurulatih, 51 pengurus pasukan, serta seluruh petugas sokongan yang telah berjuang habis-habisan demi memartabatkan sukan negeri kita,” katanya.
Nizam turut mengucapkan terima kasih kepada Selangor selaku tuan rumah atas penganjuran temasya SUKMA XXII yang disifatkan berlangsung dengan meriah dan tersusun.
Beliau berkata, semua atlet Sabah wajar pulang dengan rasa bangga kerana telah membuktikan kemampuan anak muda Sabah untuk bersaing di peringkat tertinggi sukan negara.
“Kepada barisan atlet Sabah, pulanglah dengan penuh rasa bangga. Anda semua telah membuktikan bahawa anak muda Sabah mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain,” katanya.
Dalam masa sama, Nizam menegaskan bahawa perjuangan sukan Sabah tidak berakhir di Selangor, sebaliknya perlu diteruskan dengan usaha menambah baik kelemahan serta memperkukuh persiapan bagi menghadapi cabaran akan datang.
Katanya, pencapaian di SUKMA Selangor 2026 harus dijadikan pembakar semangat untuk membawa sukan Sabah melangkah lebih jauh pada masa depan.
“Perjuangan tidak berakhir di Selangor. Kita akan terus berusaha, menambah baik kelemahan dan melangkah lebih jauh demi kecemerlangan sukan negeri kita.
“Tahniah dan syabas,” katanya.