Nizam turun padang dalam aksi persahabatan KBSK bersama MUST

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan turun padang menyertai Perlawanan Bola Sepak Persahabatan antara pasukan KBSK dan Manchester United Supporters Tawau (MUST) di Stadium Likas, Khamis lalu.

Perlawanan persahabatan itu berlangsung dalam suasana santai tetapi penuh semangat kesukanan, melibatkan warga kementerian dan komuniti peminat bola sepak dari Tawau.

Walaupun keputusan perlawanan berpihak kepada pasukan MUST, Nizam berkata perkara paling penting ialah semangat kebersamaan, ukhuwah dan hubungan baik yang terjalin antara pihak kementerian dengan komuniti belia serta peminat sukan di peringkat akar umbi.

“Walaupun keputusan berpihak kepada pasukan MUST, apa yang paling penting adalah semangat kesukanan, kebersamaan serta ukhuwah yang terjalin erat antara pihak kementerian dan komuniti belia serta peminat sukan di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan MUST atas kemenangan dan corak permainan yang baik, selain berharap pasukan KBSK menjadikan perlawanan itu sebagai pembakar semangat untuk terus aktif serta memperkasakan agenda sukan negeri.

Menurut Nizam, aktiviti sukan santai seperti perlawanan persahabatan mampu menjadi medium berkesan untuk membudayakan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan sosial dan merapatkan jurang antara kepimpinan, agensi kerajaan serta komuniti belia.

“Terima kasih kepada semua yang hadir memberikan sokongan. Teruskan membudayakan gaya hidup sihat dan aktif,” katanya.

Susulan perlawanan tersebut, Nizam turut menerima kunjungan hormat daripada barisan jawatankuasa Manchester United Supporters Club (MUSC) Tawau di Bilik Mesyuarat Utama KBSK, Wisma MUIS, pada Jumaat.

Pertemuan itu membuka ruang kepada kedua-dua pihak membincangkan pelbagai program komuniti dan aktiviti sukan yang boleh digerakkan oleh golongan belia, khususnya di pantai timur Sabah.

Nizam berkata, beliau menyokong usaha kelab peminat sukan seperti MUSC Tawau yang bukan sahaja aktif menyokong pasukan bola sepak kegemaran mereka, tetapi turut memainkan peranan menyatukan belia melalui aktiviti sihat, kerja amal dan kesukarelawanan.

Katanya, KBSK sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana persatuan atau kelab belia yang komited memperkasakan agenda pembangunan belia dan sukan di negeri ini.

“Terima kasih MUSC Tawau atas kunjungan ini. Teruskan semangat kesukanan dan sumbangan positif anda kepada komuniti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *