Nizam rasmi Wacana Pemikir Tawau, angkat budaya dialog ilmiah

TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan merasmikan Program Wacana Pemikir Tawau yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tawau, semalam.

Program tersebut menjadi platform intelektual yang menghimpunkan pemimpin, tokoh masyarakat, golongan profesional, belia serta pelbagai lapisan komuniti bagi membincangkan isu-isu semasa dan hala tuju pembangunan daerah Tawau.

Menurut Nizam, wacana seumpama itu penting sebagai ruang percambahan idea, pertukaran pandangan dan perkongsian pemikiran dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap cabaran serta peluang pembangunan yang ada.

Beliau berkata, tumpuan perbincangan meliputi pelbagai aspek penting termasuk pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan, kepimpinan serta masa depan Tawau sebagai sebuah daerah yang terus berkembang.

“Program ini menjadi ruang percambahan idea, pertukaran pandangan serta perkongsian pemikiran dalam usaha memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap cabaran dan peluang yang ada, khususnya berkaitan pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan, kepimpinan serta kemajuan Tawau pada masa akan datang,” katanya.

Nizam berkata, pendekatan wacana memberi peluang kepada pandangan pelbagai pihak dihimpunkan bagi melahirkan pemikiran yang lebih terbuka, matang dan berpandangan jauh.

Katanya, budaya dialog secara ilmiah perlu terus dibina dalam masyarakat, khususnya dalam usaha mencari penyelesaian terbaik terhadap isu-isu yang memberi kesan kepada komuniti.

Beliau berkata, Dewan Masyarakat Tawau sebagai lokasi penganjuran program turut membawa makna tersendiri kerana menjadi simbol pertemuan suara komuniti dalam membincangkan masa depan daerah.

Menurutnya, idea dan cadangan yang diketengahkan melalui program tersebut diharap dapat menjadi input bernilai kepada pihak berkepentingan dalam merangka perancangan pembangunan Tawau yang lebih progresif, inklusif dan berdaya saing.

“Melalui pendekatan wacana seperti ini, pandangan daripada pelbagai pihak dapat dihimpunkan bagi melahirkan pemikiran yang lebih terbuka, matang dan berpandangan jauh.

“Ia juga mencerminkan keperluan untuk membina budaya berdialog secara ilmiah dalam mencari penyelesaian terbaik terhadap isu-isu yang memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.

Nizam turut menyifatkan Program Wacana Pemikir Tawau sebagai satu usaha positif dalam memperkasa minda masyarakat, menyuburkan budaya ilmu serta mengangkat peranan pemikir tempatan dalam membentuk masa depan daerah.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) serta rakan-rakan strategik lain atas kejayaan menganjurkan program tersebut.

“Semoga usaha seperti ini dapat terus digerakkan bagi memperkukuh budaya ilmu, memperluas ruang dialog dan melahirkan masyarakat yang lebih aktif menyumbang idea untuk kemajuan Tawau,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *