Nizam ajak rakyat turun ke Tuaran Sabtu ini

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Sabah Bil. 2/2026 bagi memperincikan persiapan menjelang sambutan kemuncak di Tuaran, semalam.

Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama KBSK, Wisma MUIS itu memberi tumpuan kepada koordinasi akhir bagi memastikan perjalanan sambutan HSN pada 10 Oktober ini berlangsung lancar dan teratur.

Menurut Nizam, sambutan HSN tahun ini akan diadakan di Padang Istiadat, Tuaran dengan pelbagai acara disediakan secara percuma dan terbuka kepada orang ramai.

“Tirai program akan dibuka seawal jam 6.30 pagi dengan Senamrobik Perdana HSN, sebelum acara pelepasan Larian Ria MADANI dan Berjalan Ria MADANI pada jam 7 pagi,” katanya.

Bagi Larian Ria MADANI, seramai 1,500 peserta terawal yang berjaya menamatkan larian akan menerima medal khas HSN.

Peserta turut akan menerima sijil penyertaan serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah, termasuk sebuah motosikal baharu.

Selain larian dan senamrobik, pelbagai pengisian lain turut disusun sepanjang sambutan, antaranya catur, pertandingan penalti, e-sukan, pertunjukan seni mempertahankan diri serta acara sukan rakyat tradisional.

Kemuncak pelancaran HSN Peringkat Negeri Sabah dijadual bermula jam 7.30 pagi dan akan diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Pada sebelah petang, Nizam meneruskan usaha mempromosikan sambutan tersebut menerusi dua segmen khas bersama RTM Sabah.

Beliau muncul dalam slot radio SABAHfm menerusi program Kita Cerita #KitaKongsi sebelum menyertai siaran televisyen secara langsung menerusi program Kami Bah Ini.

Menurut Nizam, kedua-dua platform berkenaan memberi ruang untuk menjelaskan persiapan sambutan, pengisian program serta mengajak lebih ramai rakyat Sabah bersama-sama membudayakan kehidupan aktif dan sihat.

“Terima kasih kepada Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah atas ruang yang diberikan untuk kita berkongsi mengenai persiapan Hari Sukan Negara tahun ini,” katanya.

Beliau turut mengajak masyarakat dari Tuaran dan kawasan sekitarnya hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan tersebut bersama Ketua Menteri.

“Saya menyeru rakyat Sabah agar kita ramai-ramai turun ke Padang Istiadat Tuaran pada 10 Oktober ini untuk bersama-sama Ketua Menteri kita memeriahkan Hari Sukan Negara.

“Semua aktiviti adalah percuma dan terbuka kepada semua. Kita mahu Hari Sukan Negara menjadi ruang untuk rakyat Sabah bersukan, bersama-sama bergembira dan menjadikan gaya hidup aktif sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *