TAWAU, 26 April 2026: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Peringkat Negeri Sabah (Bawah 17 Tahun) yang berlangsung di Stadium Persatuan Bola Keranjang, Kampung Jawa, di sini hari ini.
Kejohanan edisi ke-55 itu dilihat sebagai platform strategik dalam usaha mengenal pasti serta mengasah bakat-bakat muda dalam sukan bola keranjang dari seluruh negeri.
Menurut Nizam, penganjuran kejohanan seperti ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan sukan di peringkat akar umbi, di samping melahirkan atlet berpotensi tinggi untuk mewakili Sabah ke peringkat lebih tinggi.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat, malah membentuk disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan ekosistem sukan yang holistik dan mampan, selaras dengan agenda pemerkasaan belia serta kemajuan sukan negeri secara menyeluruh.
Nizam dalam pada itu merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang mengambil bahagian, sambil memuji semangat kesukanan, disiplin serta daya saing yang ditunjukkan sepanjang kejohanan berlangsung.
“Kejohanan ini menjadi medan terbaik untuk membina jati diri, memperkukuh perpaduan serta melahirkan generasi atlet yang cemerlang,” katanya.