KOTA KINABALU, 27 April 2026: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, memulakan hari dengan mengadakan tinjauan mesra bagi memantau perkembangan projek-projek naik taraf fasiliti sukan di bawah seliaan Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS), hari ini.
Tinjauan tersebut bertujuan memastikan setiap projek yang dirancang berjalan mengikut jadual serta memenuhi keperluan komuniti sukan dan golongan belia di negeri ini.
Menurut Nizam, kemudahan sukan yang berkualiti memainkan peranan penting sebagai asas kepada pembangunan atlet yang berdaya saing.
“Kemudahan yang baik adalah nadi kepada pembangunan sukan, dan kita mahu memastikan ia sentiasa berada pada tahap terbaik untuk kegunaan semua,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan pemantauan berterusan bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.
Sejurus selesai tinjauan tersebut, Nizam menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berlangsung pada hari yang sama.
Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan dalam mengimbangi keperluan pembangunan sukan serta tanggungjawab sebagai wakil rakyat dalam persidangan negeri.