KOTA SAMARAHAN: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menyempurnakan Grand Finale Night Festival Kebudayaan Sabah 2026: Aramai Do Kaamatan di Arena Gemilang, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sabtu lalu.
Program tersebut menghimpunkan anak-anak Sabah di UNIMAS dalam suasana penuh meriah bagi meraikan keunikan warisan budaya, semangat Kaamatan serta kebersamaan komuniti pelajar Sabah di luar negeri.
Menurut Nizam, sambutan luar biasa terhadap festival itu membuktikan bahawa semangat perpaduan dan kecintaan terhadap kebudayaan Sabah terus subur walaupun anak-anak muda Sabah berada jauh dari tanah kelahiran.
Beliau berkata, penganjuran festival berkenaan bukan sekadar menjadi ruang meraikan tradisi Kaamatan, tetapi turut berperanan sebagai wadah penyatuan belia, persembahan seni kreatif dan pengukuhan integrasi nasional.
“Festival ini bukan sekadar platform meraikan warisan tradisi Kaamatan, malah menjadi wadah penyatuan belia, mempamerkan bakat seni kreatif dan memperkukuh integrasi nasional,” katanya.
Nizam berkata, kebudayaan merupakan aset penting kepada Sabah, bukan sahaja dari sudut identiti dan warisan, tetapi juga sebagai sebahagian daripada potensi ekonomi kreatif yang boleh terus dikembangkan dalam kalangan anak muda.
Katanya, penglibatan belia dalam program kebudayaan seperti itu wajar diberi sokongan kerana ia mampu melahirkan generasi yang menghargai akar budaya, berkeyakinan serta kreatif dalam menonjolkan identiti Sabah kepada masyarakat luar.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Saudara Abqaree Fawwaz Abekan.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan seluruh warga UNIMAS yang bertungkus-lumus menjayakan festival berkenaan.
“Syabas dan tahniah kepada pihak penganjur dan seluruh warga UNIMAS atas komitmen dalam menjayakan acara ini. Semoga usaha memperkasakan seni, budaya dan potensi ekonomi kreatif dalam kalangan belia terus subur demi masa depan Sabah yang cemerlang,” katanya.