MELAKA: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan mengiringi Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menghadiri Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Beliau hadir bersama rombongan kepimpinan GRS Sabah dalam kongres tersebut sebagai tanda komitmen berterusan terhadap hubungan kerjasama politik yang stabil dan konstruktif di peringkat nasional.
Menurut Nizam, penyertaan rombongan GRS Sabah ke Kongres Nasional KEADILAN 2026 mencerminkan kesungguhan GRS dalam memperkukuh kerjasama strategik, membina jambatan kefahaman politik serta mendukung kestabilan demi kemakmuran rakyat dan negara.
Katanya, dalam landskap politik semasa, semangat permuafakatan dan saling memahami antara kepimpinan pelbagai parti amat penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan dengan lebih teratur dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Penyertaan rombongan kami ke kongres ini mencerminkan komitmen jitu GRS dalam memperkukuh kerjasama strategik, membina jambatan kefahaman politik, serta mendukung kestabilan demi kemakmuran rakyat dan negara,” katanya.
Nizam berkata, kestabilan politik merupakan asas penting kepada pelaksanaan dasar pembangunan, khususnya dalam memastikan kepentingan Sabah terus diberi perhatian dalam kerangka pembangunan negara.
Beliau berkata, hubungan baik antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuh agar pelbagai agenda pembangunan, kebajikan rakyat, belia, sukan, ekonomi kreatif serta kemajuan negeri dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Menurutnya, momentum permuafakatan yang dibina melalui ruang seperti kongres tersebut wajar dimanfaatkan untuk memperluas kerjasama demi pembangunan yang inklusif dan seimbang.
“Semoga momentum permuafakatan ini terus menyemarakkan lagi usaha kita dalam memperjuangkan agenda pembangunan yang inklusif untuk seluruh rakyat Malaysia, khususnya negeri Sabah yang tercinta.
“Sabah Maju Jaya,” katanya.