TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang STPM bagi meraikan kejayaan pelajar yang mencatatkan prestasi akademik membanggakan, semalam.
Beliau berkata, majlis tersebut merupakan ruang untuk menghargai usaha, disiplin dan kesungguhan pelajar yang telah bekerja keras sepanjang pengajian mereka.
Menurut Andi, kejayaan akademik bukan sahaja wajar diraikan, malah perlu dijadikan dorongan kepada pelajar untuk terus melangkah lebih jauh dalam pendidikan tinggi dan kehidupan masa depan.
“Kecemerlangan diraikan, usaha dihargai, kejayaan diabadikan.
“Semoga pencapaian hari ini menjadi titik tolak kepada kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya.
Andi turut mengingatkan para pelajar agar terus berusaha, percaya kepada kemampuan diri dan tidak berhenti mengejar kecemerlangan walaupun selepas tamat peperiksaan STPM.
Katanya, kejayaan yang dicapai hari ini perlu menjadi asas untuk membina masa depan yang lebih baik, khususnya dalam melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Teruskan berusaha, teruskan percaya, teruskan cemerlang,” katanya.
Majlis tersebut turut berlangsung ketika keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Awam menerusi UPUOnline bagi lepasan STPM atau setaraf untuk sesi akademik 2026/2027 diumumkan bermula semalam.
Berdasarkan makluman Kementerian Pendidikan Tinggi, semakan keputusan boleh dibuat mulai jam 12 tengah hari pada 14 Ogos hingga jam 5 petang, 23 Ogos menerusi portal UPUOnline, aplikasi UPUPocket dan MyGov.
Calon yang berjaya pula perlu membuat pengesahan setuju terima atau menolak tawaran mulai 15 hingga 23 Ogos menerusi laman web Universiti Awam masing-masing.
Dalam masa sama, hanya pemohon yang tidak berjaya memperoleh tawaran dibenarkan mengemukakan rayuan menerusi UPUOnline dalam tempoh yang sama.
Andi berkata, perkembangan itu amat bermakna kepada pelajar STPM yang kini sedang melangkah ke fasa baharu dalam perjalanan akademik mereka.
Beliau berharap pelajar dari Kalabakan yang berjaya mendapat tawaran pengajian tinggi dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya, manakala mereka yang masih menunggu peluang perlu terus berusaha dan tidak berputus asa.
Menurutnya, pendidikan kekal sebagai antara jalan penting untuk mengubah kehidupan keluarga, memperkukuh masa depan anak muda dan membina generasi Kalabakan yang lebih berdaya saing.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha memperkasa pendidikan dan pembangunan anak muda di Parlimen Kalabakan.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk terus cemerlang dan membawa nama baik keluarga, sekolah serta komuniti,” katanya.