KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah optimis ekonomi kreatif mampu menjadi antara pemangkin utama dalam meningkatkan taraf hidup golongan belia melalui penerokaan peluang perniagaan dan sumber pendapatan baharu berasaskan bakat serta kreativiti.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sektor itu berpotensi mengubah landskap kehidupan belia sekiranya penglibatan mereka dalam industri seperti seni muzik, filem, makanan dan kraftangan terus diperkasakan.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup anak-anak muda Sabah melalui penglibatan dalam industri berasaskan kreativiti. Jika dikembangkan dengan baik, ia mampu meningkatkan pendapatan negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Beliau berkata, kementeriannya akan mewujudkan satu unit khas bagi merancang dan melaksanakan program ekonomi kreatif, dengan tumpuan khusus kepada bidang e-Sukan sebagai pemacu baharu dalam menjana pendapatan stabil dalam kalangan belia Sabah.
“Fokus utama kementerian adalah mewujudkan unit khas bagi merancang program ekonomi kreatif, terutamanya dalam bidang e-Sukan, bagi memastikan golongan belia dapat menjana pendapatan yang lebih stabil dan berterusan,” katanya.
Menurut beliau, kementerian turut komited memenuhi permintaan belia terhadap latihan kemahiran dalam pelbagai sektor berimpak tinggi termasuk digital, minyak dan gas, pertanian moden serta ekonomi gig, selaras dengan keperluan pasaran semasa.
Selain itu, sektor seperti perkhidmatan, pembuatan, logistik, pelancongan, perikanan dan perusahaan kecil dikenal pasti mempunyai potensi besar dalam memperkasa ekonomi belia serta meningkatkan taraf hidup mereka.
Dalam masa sama, usaha menjadikan Sabah sebagai “Negeri Sukan” akan terus dipergiat melalui peningkatan fasiliti serta pelaksanaan program pembangunan atlet secara berterusan.
“Ini sejajar dengan sasaran kementerian untuk meningkatkan tahap kesihatan masyarakat dan pada masa sama melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan belia turut diperkukuh menerusi pelaksanaan program kepimpinan seperti Felo SMJ, DUN Belia, Majlis Perundingan Belia Negeri dan Sukarelawan SMJ yang memberi impak positif kepada pembentukan sahsiah dan kepimpinan generasi muda.
“Saya yakin, dengan sokongan semua pihak, ekonomi belia akan terus meningkat dan imej sukan Sabah akan terus dijulang,” katanya.