KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady, meluangkan masa bertemu warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wallace Bay bagi mendengar secara langsung isu-isu yang dihadapi di peringkat akar umbi.
Dalam pertemuan tersebut, beberapa perkara utama dibincangkan termasuk keperluan bekalan minyak, masalah bekalan air, kemudahan jeti serta keadaan asrama pelajar yang memerlukan perhatian segera.
Andi berkata, maklum balas daripada pihak sekolah amat penting dalam membantu pihaknya memahami situasi sebenar di lapangan, sekali gus memastikan tindakan yang diambil lebih tepat dan berkesan.
“Input seperti ini amat penting dalam memastikan tindakan yang lebih tepat dan berkesan dapat diambil, dan perkara ini akan saya suarakan di Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga pendidik atas kesudian berkongsi pandangan serta cabaran yang dihadapi, khususnya dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.
Menurutnya, usaha berterusan dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan, bukan sahaja untuk kemudahan sekolah tetapi juga kesejahteraan komuniti setempat.
“Semoga usaha bersama ini dapat membawa penambahbaikan yang berterusan demi kebajikan pelajar dan komuniti setempat,” tambah beliau.