Program menembak bersama TYT Sabah perkukuh kerjasama dan profesionalisme

KOTA KINABALU, 12 April 2026: Program Acara Menembak Bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman berlangsung di Lapang Sasar Tertutup, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, hari ini.

Keberangkatan tiba TYT disambut oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh bin Dikun, bersama barisan dif kehormat dan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.

Program tersebut memberi penekanan kepada ujian kemahiran menembak dalam kalangan peserta, selain meningkatkan tahap kecekapan serta pematuhan terhadap aspek keselamatan dan penggunaan senjata api secara profesional.

Dalam ucapannya, Jauteh berkata acara berkenaan bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi turut berperanan sebagai platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturrahim serta memperkukuh kerjasama strategik antara kepimpinan negeri dan agensi penguatkuasaan.

“Acara menembak bersama ini menjadi medan untuk memperkukuh hubungan serta meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan anggota dan pihak berkepentingan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian sambutan rasmi TYT yang menekankan elemen kebersamaan antara kepimpinan dan pasukan keselamatan.

“Program ini bukan sekadar ujian kemahiran, tetapi menjadi platform terbaik untuk memperkukuh silaturahim antara pimpinan kerajaan dan pasukan keselamatan kita,” katanya.

Beliau turut memuji penganjuran oleh PDRM Sabah serta menekankan nilai disiplin dan semangat setiakawan dalam kalangan peserta.

“Memang mencabar untuk memastikan bidikan tepat ke sasaran, tetapi yang lebih penting adalah semangat setiakawan dan disiplin yang berterusan,” ujarnya.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, beliau turut merafak sembah ucapan tahniah sempena ulang tahun ke-75 TYT, sambil mendoakan kesejahteraan berterusan negeri Sabah di bawah naungan TYT.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib; serta Datuk Engineer Shahelmey bin Yahya bersama pemimpin dan pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Program ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara kepimpinan negeri, agensi keselamatan dan masyarakat demi memastikan kestabilan serta keselamatan Sabah terus terpelihara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *