KOTA KINABALU, 12 April 2026: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, menyifatkan penganjuran Sabah Muaythai Expo: The Young Guns U17 sebagai platform penting dalam mencungkil dan membangunkan bakat muda dalam sukan tempur di negeri ini.
Beliau berkata inisiatif yang berlangsung di 1Borneo Hypermall itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada atlet muda, malah selari dengan agenda kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan belia melalui sukan berprestasi tinggi.
“Program seperti ini sangat penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan atlet, khususnya dalam sukan Muaythai yang semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Sabah telah membuktikan keupayaan dalam melahirkan atlet bertaraf dunia, termasuk Yan Jia Chi yang merupakan juara dunia lima kali, serta Asyraf Daniel dan Eva Anastasia yang telah mengharumkan nama negara di Sukan SEA 2025.
Beliau menegaskan pencapaian tersebut menjadi bukti bahawa anak jati Sabah mampu bersaing di pentas global dan legasi itu perlu diteruskan melalui pembangunan bakat baharu.
Sehubungan itu, Nizam menyeru lebih ramai anak muda Sabah untuk menyertai sukan dan seni mempertahankan diri sebagai platform membina disiplin serta semangat juang.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha memupuk generasi belia yang berdaya saing demi masa hadapan sukan Sabah yang lebih gemilang,” katanya.
Sabah Muaythai Expo: The Young Guns U17 berlangsung dari 9 hingga 12 April di 1Borneo Hypermall, menampilkan penyertaan bakat bawah 17 tahun dari seluruh negeri, selain menawarkan kemasukan percuma kepada orang ramai.