KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menyertai rombongan kunjungan hormat Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan PEMADAM Perbandaran Tawau kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, semalam.
Kunjungan di pejabat Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri Sabah itu diketuai Presiden MPT, Tuan Mohd Shoffian Mohd Said.
Menurut Nizam, kunjungan tersebut bertujuan memberikan taklimat serta menyampaikan undangan rasmi kepada Ketua Menteri bagi menghadiri Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2026.
Katanya, antara pengisian utama festival pada kali ini ialah Pertandingan Memancing Antarabangsa sempena FKAT 2026 anjuran PEMADAM Perbandaran Tawau yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos depan.
Beliau berkata, penganjuran pertandingan bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja dapat menyemarakkan aktiviti sukan rekreasi, malah berpotensi merancakkan sektor pelancongan domestik di Tawau.
“Pertandingan memancing bertaraf antarabangsa ini bukan sahaja mampu merancakkan industri sukan rekreasi dan pelancongan domestik, malah menjadi platform penting dalam mempromosikan ekonomi kreatif komuniti setempat di Tawau,” katanya.
Nizam berkata, FKAT 2026 mempunyai potensi besar untuk terus mengangkat Tawau sebagai antara destinasi budaya, komuniti dan pelancongan yang penting di Sabah.
Katanya, festival seperti itu juga membuka ruang kepada penglibatan lebih luas masyarakat setempat, termasuk belia, usahawan kecil, penggiat seni budaya dan komuniti kreatif.
Beliau turut memaklumkan bahawa Ketua Menteri menyambut baik penganjuran festival tersebut dan menzahirkan sokongan Kerajaan Negeri terhadap program yang memperkasakan penyertaan belia serta komuniti dalam aktiviti sihat dan berimpak tinggi.
Menurutnya, sokongan itu penting bagi memastikan penganjuran program berskala komuniti dan antarabangsa seperti FKAT dapat terus diperkukuh sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan Tawau dan Sabah secara lebih meluas.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada MPT dan PEMADAM Perbandaran Tawau atas komitmen dalam menjayakan penganjuran FKAT 2026 serta aktiviti yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.
“Syabas diucapkan kepada MPT dan PEMADAM Perbandaran Tawau atas komitmen padu ini,” katanya.